Thu | Oct 18, 07 | 2:32:04 pm MYT
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Meskipun tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-12 masih belum 'diihlamkan' Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, namum nampaknya persediaan ke arah PRU-12 giat dijalankan jentera Umno/Barisan Nasional (BN).
Malah sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini tidak ketinggalan dijadikan medan oleh Umno/BN untuk menjalankan kempennya terutamanya di negeri tumpuan iaitu Kelantan.
Malangnya usaha ke arah membersihkan perjalanan pilihan raya sedikitpun tidak diperdulihan oleh kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebaliknya kerajaan terus menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai alat utama mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
Untuk itu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataanya hari ini menekankan agar rakyat bersama-sama Bersih berhimpun di Dataran Merdeka pada 10 November ini bagi menyatakan tuntutan membersihkan perjalanan pilihan raya di negara ini.
Jurucakap Bersih, Tian Chua berkata pihaknya menyeru seluruh rakyat yang cintakan keadilan turut serta berhimpun di Dataran Merdeka danm seterusnya berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tuntutan Bersih kepada Yang DiPertuan Agong.
Beliau berkata demikian semasa sidang media bersama anggota Bersih di Pejabat Parti KeADILan Rakyat di Brickfield hari ini berhubung beberapa isu terkini dan perkembangan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih).
Turut hadir ialah, AJK PAS Pusat, Dr Seyd Azman Syed Ahmad; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Bendahari Agung KeADILan, William JK Leong; ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teresa Kok Siuh Sim dan Pegawai Khas Anwar Ibrahim, Sim Thze Tzin.
Sebelum ini Bersih telah mengemukakan tiga cadangan asas kepada SPR agar membersihkan perjalanan pilihan raya di negara ini antaranya, penghapusan undi pos; penggunaan dakwat celup jari dan pembersihan daftar pemilih, katanya.
Namun tuntutan itu tidak dipenuhi oleh SPR meskipun beberapa kali SPR sendiri mengakui adanya ketempangan dalam perjalanan pilihan raya di negara ini, kata Tian Chua.
"Kita juga mendesak Perdana Menteri segera menetapkan tarikh pilihan raya umum ini untuk membuktikan ketelusan kerajaan dan memberikan ruang kepada rakyat menilai lebih dekat prestasi kerajaan yang sedia ada,"katanya.
Sementara itu Dr Syed Azman yang mengulas perkembangan yang sama menyatakan, setakat ini Bersih menjangkakan sekitar 10,000 rakyat akan berhimpun pada tarikh tersebut.
Beliau tidak menolak kemungkinan perhimpunan itu akan dihadiri lebiu dari yang dijangkakan, dan menyatakan setakat ini soal permit perhimpunan sedang diperbincangkan.
No comments:
Post a Comment