KUALA LUMPUR 11 Okt. – Hampir 200,000 orang tetamu dijangka memeriahkan rumah terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah yang akan diadakan buat kali keempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Hari Raya pertama.
Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Senator Datuk Yaakob Mohammad berkata, rumah terbuka itu yang turut melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri-Menteri Kabinet akan berlangsung dalam dua sesi.
Menurut beliau, sesi pertama bermula pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari dikhaskan untuk orang kenamaan, perwakilan luar negara dan undangan istimewa manakala sesi untuk orang ramai disambung selepas itu sehingga pukul 5 petang.
‘‘Kami menyediakan 30 juadah makanan panas yang akan dimasak oleh 76 tukang masak menggunakan kira-kira 50,000 kilogram bahan mentah seperti ayam, ikan, cili dan sayur-sayuran.
‘‘Hidangan itu dijangka mencukupi untuk disaji kepada anggaran 200,000 orang tetamu secara berperingkat,’’ katanya pada sidang akhbar mengenai persiapan rumah terbuka perdana itu di PWTC hari ini.
No comments:
Post a Comment