Thursday, October 18, 2007

BN Sarawak kemuka lebih ramai calon wanita

BEKENU 17 Okt. – Barisan Nasional (BN) negeri Sarawak akan mengetengahkan lebih ramai calon wanita dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi BN negeri merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata ia untuk mempelbagaikan calon BN negeri serta mengimbangi bilangan kaum wanita yang berkecimpung dalam arena politik negeri ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, sekali gus usaha itu diharap dapat meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam bidang politik.

‘‘Kita sudah ada senarai calon wanita khususnya daripada parti PBB untuk dicalonkan pada pilihan raya Parlimen akan datang.

‘‘Pada masa sama, kita memang dari semasa ke semasa akan menambah bilangan kaum wanita untuk menjadi wakil rakyat di negeri ini,” katanya semasa ditemui pemberita selepas ‘Majlis Melanggar Meja’ sempena Ramah- Tamah Aidilfitri di sini hari ini.

Kriteria

Tanpa mengulas lanjut kriteria pemilihan, Taib berkata, ketika ini komponen BN negeri dibarisi wakil rakyat yang mewakili semua kaum termasuk suku kaum yang kecil bilangannya.

‘‘Semua kaum akan mengambil bahagian termasuk dalam politik kerana kita pentingkan semangat kerjasama dan perpaduan daripada semua rakyat yang berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata, ada di kalangan wakil rakyat di Sarawak yang dipilih daripada kalangan kumpulan etnik yang kecil tetapi mampu menang dalam pilihan raya.

‘‘Semua ini disebabkan ada perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di sini. Kita sokong calon bukan disebabkan paras rupa tetapi kerana di belakang calon itu ada BN yang mampu membawa pembangunan,” katanya.

Ketika ini, PBB mempunyai tiga wakil rakyat wanita iaitu Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Gazali (ADUN Samariang) dan Simoi Peri (ADUN Lingga).

Seorang lagi wakil rakyat wanita di Sarawak ialah daripada parti komponen BN yang lain ialah ADUN Bekenu, Rosey Yunus.

Pada majlis sama, Taib turut menyumbang RM250,000 kepada tabung pembinaan Masjid Baru Batu Niah.

No comments: