KUALA LUMPUR 17 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah bersedia untuk pulang ke rumah ekoran keadaan kesihatannya yang kini bertambah baik.
Beliau yang kini berada di wad biasa dijangka dibenarkan pulang setelah selesai menjalani rawatan fisioterapi dan doktor berpuas hati dengan keadaan kesihatannya.
Anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir berkata, ayahnya sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah.
‘‘Kami berharap beliau akan dibenarkan pulang dalam masa yang terdekat kerana keadaan kesihatannya sudah bertambah baik,’’ katanya kepada pemberita di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
Dr. Mahathir menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN pada 4 September lepas dan pembedahan kedua bagi membersihkan jangkitan pada 22 September lalu.
Menurut Marina, hari ini Dr. Mahathir bersarapan kuetiau goreng yang dibawa khas dari Kampung Tok Senik, Langkawi oleh kenalan rapatnya.
“Ayah saya cukup gemarkan kuetiau ini... jika ke Langkawi pasti kuetiau goreng itu menjadi menu wajib beliau, tetapi saya tidak pasti sama ada kuetiau itu dibawa terus dari Langkawi ataupun tukang masak itu dibawa ke sini khas memasaknya untuk ayah saya,” kata Marina.
Semalam, Dr. Mahathir menerima kunjungan Pengarah Agensi Angkasa Negara Datuk Dr. Mazlan Othman yang akan berlepas ke Rusia malam ini bagi menyambut kepulangan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.
“Ayah saya begitu bangga dengan kejayaan program itu dan sentiasa mengikuti perkembangannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment