Thu | Oct 18, 07 | 2:15:39 pm MYT
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Satu lagi pembangunan koridor akan dilancarkan selepas koridor selatan (WPI) dilancarkan lebih setahun lalu, diikuti koridor utara tiga bulan lepas, seterusnya koridor Pantai Timur, akhir bulan ini, dan yang terbaru koridor di Sarawak (Recorda) Disember tahun ini.
Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyelar tindakan kerajaan yang selama ini hanya pandai memberikan harapan kepada rakyat dengan melaksanakan pelbagai pelan pembangunan seperti mana yang telah diumumkan kepada rakyat.
"Perancangan-perancangan yang dibuat seolah-olah tidak mempunyai hala tuju yang jelas dan menyeluruh. Buktinya, tidak ada perincian terhadap apa yang telah dirangka bagi setiap pelan," ujarnya kepada Harakahdaily.
Apa yang pasti ujarnya, tiada garis panduan bagi setiap jawatankuasa yang dilantik secara khusus seperti yang berlaku kepada Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dalam projek koridor utara.
Beliau mendakwa walaupun kerajaan mahu rakyat berfikiran futuristik yakni memandang ke hadapan setelah mereka menjanjikan projek tersebut selesai pada tahun 2025, iaitu 18 tahun akan datang tetapi kerajaan gagal memberikan keyakinan kepada rakyat.
"Bahkan kerajaan sanggup membazirkan wang rakyat sejumlah RM11 juta untuk majlis pelancaran projek tersebut," katanya.
Sementara itu, Mahfuz turut menyatakan kebimbangannya terhadap perlaksanaan projek-projek koridor yang dijangka akan menjejaskan kepentingan golongan bumiputera pada masa akan datang.
Tegasnya, survival orang Melayu buat masa ini bukan agenda utama kerajaan setelah apa yang berlaku dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar atau koridor selatan.
"Walaupun Khazanah Holding dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi apa yang dilakukannya langsung tidak mempedulikan nasib dan kepentingan orang Melayu di Johor," katanya lagi.
Tambahnya, hal ini jelas terbukti apabila mereka sanggup menghapuskan syarat 30 peratus penglibatan pelabur sekali gus membuka ruang yang seluas-luasnya kepada mereka tanpa sedikitpun memikirkan kuota bagi bumiputera untuk terlibat sama.
Sungguhpun begitu, Abdullah yang sebelum ini menjelaskan bahawa pengendalian projek koridor-koridor ini diberikan kepada GLC, tidak mengotakan apa yang dikatakan dengan sepenuhnya.
Koridor-koridor yang berada dalam perancangan sekarang telah diletakkan tanggungjawab tersebut kepada GLC seperti NCER (utara) dikendalikan oleh syarikat Sime Darby, WPI (selatan) oleh Khazanah Holding dan ECER (timur) oleh Petronas.
"Persoalannya sekarang ini, sejauhmanakah GLC boleh berperanan untuk membantu masyarakat bumiputera untuk terlibat secara langsung mengenai pengagihan tugasan dalam perlaksanaan projek yang telah dirangka," katanya dalam nada pertikaian.
"Kalau betul tiada masalah mengenai GLC sebelum ini, mengapakah dalam setiap perhimpunan Agung Umno ada perwakilan yang bangkit mempersoalkan kegagalan GLC berperanan dalam membantu pembangunan bumiputera negara?" ujarnya.
Mahfuz mendakwa apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa pemimpin negara yang ada sekarang ini lebih berorientasi mencari keuntungan peribadi.
Beliau juga sangsi dengan pembinaan koridor-koridor ini yang masih belum dapat dilihat berpotensi untuk membantu golongan bumiputera yang terkebelakang.
"Contohnya dalam projek WPI, pelabur-pelabur tidak terikat untuk mengambil pekerja-pekerja dari mana sahaja yang mereka mahukan tanpa menetapkan kriteria khusus seperti sumber dan kepakaran yang diperlukan bagi memastikan kejayaan projek," jelasnya lagi.
Sebaliknya, undang-undang yang digubal tidak menggambarkan kuasa parlimen yang boleh memberikan perlindungan kepada rakyat yang berada dalam kawasan yang terlibat dengan koridor tersebut.
"Undang-undang yang ada hanya memberikan kuasa kepada pengerusi Khazanah Holding, iaitu Abdullah supaya beliau bebas melakukan apa sahaja, seperti memberi peluang tanpa had kepada pelabur asing seterusnya mengabaikan hak dan nasib orang Melayu di Johor," tambahnya dengan panjang lebar.
Beliau yang juga Pengerusi Institut Pembangunan dan Penggembelingan Komoditi (Impak) menjangkakan kemungkinan perkara yang sama akan menimpa rakyat yang akan terbabit dengan projek-projek koridor yang bakal dibina.
Dalam pada itu, ada yang beranggapan bahawa apa yang sedang cuba dilakukan oleh Abdullah sekarang adalah untuk merakamkan namanya dalam sejarah negara kerana setakat ini beliau masih belum dapat untuk mencatatkan apa-apa kejayaan besar seperti mana yang telah dilakukan oleh perdana menteri sebelum ini. - mns
No comments:
Post a Comment