KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang semakin sembuh selepas pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) bulan lalu, kini bersedia untuk pulang ke rumah berikutan kesihatannya bertambah baik, kata anak sulungnya, Datin Paduka Marina.
"Beliau (Dr Mahathir) benar-benar ingin pulang kerana hampir tujuh minggu berada di sini (IJN) dan beliau rindukan suasana di rumah," katanya ketika ditemui pemberita di IJN, semalam.
Marina yang tiba jam 11.40 pagi, meluangkan masa kira-kira satu jam setengah bersama bapanya, selepas tiga hari tidak berjumpa kerana bercuti ke Indonesia bersama suami dan anaknya.
Marina berkata, bapanya sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah dan menyatakan hasrat untuk pulang kepadanya.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu berusaha untuk memulihkan kesihatannya dengan melakukan senaman ringan, berlatih berjalan serta sudah mampu membaca buku dan meluangkan masa menonton televisyen.
"Beliau juga melakukan senaman ringan bagi menguatkan otot lengan serta bahagian dada untuk memulihkan kembali tenaga selepas keluar dari IJN," katanya.
Marina berkata, Dr Mahathir juga menikmati sarapan kuew tiaw goreng yang dibawa khas dari Kampung Tok Senik, Langkawi oleh kenalan rapatnya.
"Ayah saya cukup gemarkan kuew tiaw ini... jika ke Langkawi pasti kuew tiaw goreng itu menjadi menu wajibnya, tapi saya tidak pasti sama ada kuew tiaw itu dibawa terus dari Langkawi atau tukang masak itu dibawa ke sini khas memasaknya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Perubatan IJN, Datuk Seri Dr Robaayah Zambahari berkata, Dr Mahathir dijangka dibenar pulang hujung minggu ini.
"Kita mahu luka kecil pembedahan yang dialaminya sembuh sepenuhnya," katanya.
Dr Mahathir menerima rawatan di IJN selepas menjalani pembedahan pintasan jantung 4 September lalu dan pembedahan kedua bagi membersihkan luka pada 22 September lalu.
No comments:
Post a Comment