SEMAKIN SIHAT: Gambar Tun Dr Mahathir melakukan senaman sambil diperhatikan beberapa kakitangan perubatan IJN disiarkan di blog anaknya, Marina Mahathir, semalam. Turut kelihatan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. |
KUALA LUMPUR: Kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad bertambah baik dan semakin aktif melakukan senaman ringan bagi menguatkan otot tubuhnya, termasuk mampu berjalan sejauh 125 meter (m) di sekitar wad.
Anak sulung bekas Perdana Menteri itu, Datin Paduka Marina, berkata luka kecil pembedahannya semakin sembuh dan beliau tidak sabar untuk keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN) dan pulang ke rumah.
"Alhamdulillah, beliau sudah mampu berjalan lebih jauh, termasuk melakukan lima pusingan dengan jarak sejauh 25m setiap pusingan. Ini menunjukkan keazamannya untuk pulih dan keluar dari IJN.
"Saya belum pasti bila beliau dibenarkan keluar, tetapi menjangka tidak lama lagi. Semua bergantung pada perkembangan kesihatannya dan kebenaran doktor yang merawat," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Marina berkata, Dr Mahathir tidak sabar ingin pulang dan menyatakan hasrat itu kepadanya, kelmarin.
Malah Pengarah Perubatan IJN, Datuk Seri Dr Robaayah Zambahari, berkata Dr Mahathir dijangka dibenarkan pulang hujung minggu ini.
"Apabila tiba di wad, saya lihat beliau sedang menikmati teh dan selepas itu meneruskan kembali senamannya," katanya.
Sementara itu, anak kelima Mahathir, Datuk Mukhriz, berkata bapanya hanya menunggu 'lampu hijau' daripada doktor untuk keluar dari IJN.
No comments:
Post a Comment