Thursday, October 18, 2007

Kenyataan Zam bukti BN jahil erti integriti media

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Oct 18, 07 | 9:14:00 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Kenyataan terbaru Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin (Zam) membuktikan betapa kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN) lebih rela bersikap jahil daripada mengakui kebenaran meskipun ia menyakitkan, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Fariz Musa.

Kata Fariz, AMK menyifatkan kenyataan Zam tersebut menjelaskan kepada rakyat bahawa tidak wujud kebebasan bersuara di Malaysia dan gesaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memaklumkan kebenaran hanyalah gula-gula memancing undi semata-mata.

Kenyataan terbaru Zam membuktikan betapa kerajaan Umno/BN lebih rela bersikap jahil daripada mengakui kebenaran meskipun ia menyakitkan, tegasnya dalam satu kenyataannya hari ini.

"Apakah rasional untuk mengekang media untuk menyatakan kebenaran meskpin kebenaran itu memedihkan kerajaan BN? Isunya adalah integriti dan ketelusan, maka tidak wajar bagi mana-mana penguasa untuk menyekat kebenaran daripada disebarkan kepada rakyat,"katanya kepada Harakahdaily.

Berdirinya mereka sebagai kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya mewajibkan mereka untuk membenarkan segala bentuk maklumat dan kebenaran disampaikan kepada rakyat, katanya.

Ia perlu agar rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku untuk mereka menilai prestasi kerajaan, katanya.

AMK juga kesal dengan tindakan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Sidek Hassan yang meminta organisasi media supaya mengelak daripada membesar-besarkan berita-berita negatif mengenai kerajaan, seperti Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2006, ujarnya.

"Pendedahan penyalah gunaan wang rakyat disifatkan negatif, dan penyalah gunaan kuasa dan wang rakyat mesti dilihat positif oleh rakyat, inilah realiti acuan media yang dibentuk oleh kerajaan BN!,"katanya.

AMK sendiri telah mengemukakan aduan rasmi kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis, dan hasilnya, sehingga ke hari ini tidak ada sebarang siasatan dan perkembangan positif,katanya.

Ini semua hanya kerana ia memalitkan imej BN yang kononnya bersih, tetapi busuk lagi membusukkan, katanya.

AMK menggesa agar pihak media terus mendedahkan fakta yang benar atas prinsip akauntabiliti dan integriti media, katanya.

Sebagai Menteri Penerangan, Zam wajar melepaskan jawatan beliau sekiranya beliau masih tidak faham erti integriti media dan kewartawanan demi memartabatkan kebenaran.

"Sempena Eidulfitri yang diraikan ini, AMK berharap agar Zam dapat kembali mendalami gesaan Hadis Rasulullah S.A.W, 'katakanlah yang benar meskipun ia pahit untuk ditelan', untuk muhasabah diri dan memperbetulkan kembali sistem yang kian rosak hasil usaha kerajaan BN," ujarnya.

Rakyat tidak bodoh, dan rakyat terus celik menilai kebenaran, katanya.

No comments: