Thursday, October 04, 2007

Program Putera tak kira fahaman politik

Oleh Abdul Razak Raaff

PETALING JAYA: Program Skim Peluang Kedua anjuran Putera Umno untuk membantu remaja tercicir, terbuka kepada semua dan tidak mengambil kira ideologi dan fahaman politik termasuk ibu bapa masing-masing.

Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata fokus utama program itu ialah memberi peluang kedua untuk mereka yang tercicir dalam pelajaran mempelajari ilmu vokasional selain menyediakan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi untuk jangka masa panjang.

Walaupun program berkenaan menggunakan platform Umno, beliau berkata, semua remaja tanpa mengira fahaman politik boleh mengikuti tujuh program kemahiran yang menggunakan dana Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan.

“Mungkin ada ibu bapa remaja yang tercicir dalam pelajaran di kawasan luar bandar memikirkan bahawa program ini khusus untuk ahli Umno saja, tetapi sebenarnya ia memang terbuka kepada semua.

“Tujuan Putera Umno mengadakan skim berkenaan bukan untuk berpolitik, tetapi memenuhi tanggungjawab untuk membantu pelajar yang tidak minat akademik masih berpeluang meningkatkan tahap pendidikan dan berjaya dalam hidup,” katanya pada majlis penyampaian tajaan pakaian raya dan berbuka puasa untuk anak yatim Yayasan Nur Hikmah di Mydin Mall, di sini petang semalam. Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin.

Seramai 217 anak yatim di bawah yayasan itu dan 60 ibu tunggal diberi peluang membeli-belah dan memilih sendiri pakaian untuk Aidilfitri mengikut warna yang digemari.

Skim Peluang Kedua Putera Umno memberi peluang pendidikan dan kerjaya kepada remaja berusia 18 hingga 25 tahun yang tercicir dalam pelajaran mengikuti program vokasional antaranya automotif, perhotelan, ukiran kayu (kreatif), kejururawatan, paramedik selain menguasai bahasa Inggeris.

Abdul Azeez berkata, ada kira-kira 300 remaja berasal dari kawasan luar bandar yang sedang mengikuti program itu bukan ahli Umno.

Selain itu, katanya, Putera Umno kini aktif mengesan remaja tercicir di 191 kawasan Parlimen di seluruh negara untuk menyertai program itu termasuk mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Kita juga akan mengenal pasti mereka yang tidak mendapat keputusan cemerlang SPM dan menawarkan mereka program ini bagi mengikuti pengajian sebelum Mac tahun depan,” katanya.

No comments: