Thursday, October 04, 2007

Bekas penganalisis pengurusan Bank Negara sertai KeADILan

Azamin Amin
Thu | Oct 04, 07 | 1:55:54 pm MYT

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Hrkh) - "Negara kini berada dalam keadaan cemas.Saya sertai KeADILan kerana memikirkan masa depan anak cucu saya di tanahair ini. Tak berguna jika saya sekadar duduk diam-diam. 'Enough is enough. Let's do something about it'."

Demikian adalah antara petikan semangat dan dorongan Din Merican,68, seorang penasihat pengurusan dalam bidang kewangan yang berpengalaman, yang kini menyertai KeADILan untuk sama-sama meneruskan perjuangan memastikan Malaysia berada di landasan demokrasi yang betul dan membela nasib rakyat yang teraniaya akibat kerakusan kuasa pemimpin parti pemerintah.

Beliau pernah memegang jawatan penting dalam Bank Negara sebagai Penganalisis Pengurusan pada 1965 sehingga 1972 serta menyertai Sime Darby pada 1978 sehingga 1991 dalam penstrukturan semula kewangan.

Kini beliau sebagai peneraju kepada sebuah syarikat konsultan yang memfokus dalam polisi luar dan Pensyarah di Universiti Cambodia serta Fellow di Cambodian Institute untuk Kerjasama dan Keamanan (CICP).

CICP ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berkempen untuk kemasukan Kemboja dalam Asean.

Bersama Dr Kao Kim Hourn, Beliau menerbitkan buku bertajuk "Peace and Cooperation in ASEAN: Altenative Paradigms, London: ASEAN Press,1997."

Kemasukan dan penyerahan borang keahilan beliau diterima sendiri oleh Presiden Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebentar tadi di pejabat KeADILan dekat sini.

Turut hadir sama menyaksikan penyerahan keahliannya ialah Setiausaha Agung Tan Sri Khalid Ibrahim, Naib Presiden Sivarasa Rasiah,Ketua Penerangan Tian CHua dan Pegawai Khas Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim;Sim Tze Minh.

"Mungkin ada yang bertanya, mengapa sekarang? Saya nyatakan bukan kerana ingin jawatan atau ada kaitan dengan pilihan raya yang semakin dekat tetapi kerana ingin berkongsi pengalaman kepada generasi muda tentang erti perjuangan yang sebenar," katanya ketika sidang media.

Beliau menjelaskan tiga faktor utama yang menyebabkan beliau memilih KeADILan ialah kerana pemimpinnya, rakan-rakan yang berjuang dan ideologi mahupun prinsip yang dibawa oleh parti tersebut.

"Masa saya muda dahulu sukar sekali untuk mendengar perkataan korupsi tetapi kini sekarang semakin menjadi-jadi.Polis dahulu sanggup membantu bersungguh-sungguh tetapi sekarang imej mereka makin buruk," katanya.

"Yang disibukkan ialah bakar bendera bahkan tindakan itu hasil daripada kekecewaan orang ramai. Masalah yang paling besar ialah polis menembak dua orang dalam insiden Batu Buruk yang perlu diperjelaskan," katanya yang turut mengulas panjang berhubung ketelusan pentadbiran negara yang semakin diragui oleh semua pihak.

"Di universiti sewaktu sesama pensyarah berbincang hal negara-negara yang boleh dijadikan contoh dalam usaha giat membanteras rasuah, mereka mengenepikan nama Malaysia kerana 'transperancy' yang buruk," katanya lagi.

Dalam pada itu, Khalid menyatakan bahawa Din akan bertugas sebagai Pengarah Program dan Ketua Staf di pejabat Penasihat dan Setiausaha Agung KeADILan.

Wan Azizah turut menyatakan bahawa begitu penting penyertaan Din yang akan dapat sama-sama membantu dan memberi sumbangan yang besar kepada KeADILan untuk membantu mengatur strategi bagi mendapatkan sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum akan datang di samping menyedarkan rakyat di atas kepincangan negara yang semakin berada di tahap yang cukup membimbangkan. - mks.

No comments: