Wednesday, October 03, 2007

Haidar akui panel siasat klip video tiada kuasa istimewa panggil saksi

Nyza Ayob / Foto Wan Zahari
Wed | Oct 03, 07 | 5:05:04 pm MYT

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Hrkh)- Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor yang mempengerusi mesyuarat pertama panel untuk menyiasat kesahihan klip video peguam Dato' VK Lingam hari ini, menekankan bahawa panel tersebut tidak mempunyai kuasa istimewa untuk memanggil saksi memberi keterangan.

ImageBeliau memohon sesiapa yang boleh membantu untuk mengesahkan klip video bertemu mereka secara sukarela.

Haidar berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hampir tiga jam mesyuarat pertama panel tersebut berlangsung di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Jalan Raja Laut hari ini.

Selain Haidar, dua lagi anggota panel ialah Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Mahadev Shankar dan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye.

Menurut Haidar lagi, setiap saksi hendaklah bertemu dengan ketiga-tiga mereka dan bukan salah seorang daripada mereka.

Sementara itu Mahadev kelihatan jengkel, apabila dikatakan kekurangan kuasa pada penel itu menyebabkan ia tidak boleh mendedahkan kebenaran.

Apabila ditanya sama ada panel tersebut akan memberi perlindungan kepada saksi, jawab Mahadev, 'kebenaran adalah perisai terbaik, keadilan adalah perlindungan lebih baik'.

Selain itu apabila ditanya sama ada anggota panel akan berjumpa dengan Lingam, individu yang terlibat dengan kontroversi tersebut, jawab Haidar, "jika dia ingin datang... Saya tidak tahu". Manakala Mahadev pula menimbulkan persoalan kembali kepada wartawan, "Adakah awak tahu dia di mana?'"

ImageSeorang lagi ahli panel, Tan Sri Lee Lam Thye hanya mendiamkan diri sepanjang sidang media berlangsung.

Sementara itu, apabila diajukan persoalan kepada Haidar kenapa pihaknya tidak mahu menerima memorandum yang ingin diserahkan oleh gabungan parti politik dan kumpulan NGO pada awal pagi tadi, jelas Haidar pihaknya bukan tidak mahu menerima tetapi bersedia menerimanya selepas mesyuarat selesai.

"Kami bukan tak mahu bertemu dan terima memorandum tersebut. Tapi tunggu mesyuarat selesai. Jika mereka jumpa sekarang, kita akan terima,"katanya.

Dalam sidang media itu juga, Mahadev turut mengedarkan salinan surat pelantikannya sebagai anggota panel bebas daripada Dato' Seri Najib Razak.

Surat tersebut menyatakan, bidang tugas panel adalah untuk menentukan kesahihan rakaman klip video yang mengandungi imej seorang peguam bela dan peguam cara berbual melalui telefon mengenai urusan pelantikan hakim.

Antara lain surat bertarikh 27 September turut menyatakan panel hendaklah mengikut apa-apa tatacara yang pada hematnya patut dan suai manfaat dan hendaklah mematuhi peruntukan undang-undang. Panel juga hendaklah menyiapkan siasatan dan mengemukakan satu laporan kepada kerajaan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh pelantikan mereka.

Penyerahan memorandum gagal

ImageTerdahulu, pada kira-kira jam 10.20 pagi, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, Latheefa Koya tiba bersama kira-kira 30 anggota keADILan tiba di pejabat Suhakam untuk menyerahkan memorandum kepada ahli panel menuntut supaya panel bebas tersebut digantikan dengan suruhanjaya diraja. Selain Latheefa, turut serta dalam kumpulan tersebut ialah Yap Swee Seng daripada Suaram, Peguam, Amir Hamzah, Florida daripada Tenaganita serta Ketua Penerangan AMK, Lau Teck Hai.

Dengan memegang kain rentang dan poster Haidar yang bertulis 'Panel bebas tidak bebas', mereka turut melaungkan 'Kami mahukan Suruhanjaya Diraja'.

Setelah rundingan diadakan dengan pihak Suhakam, Haidar, Haidar bersetuju untuk membenarkan seorang wakil kumpulan tersebut masuk ke bilik mesyuarat untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Bagaimanapun, mereka menuntut kelima-lima mereka dibenarkan masuk. Sewaktu perundingan diadakan dengan pihak Suhakam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Timbalan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Abu Kasim Mohamad tiba di situ.

Kira-kira 20 minit kemudian, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan tiba.

Sewaktu Abdul Ghani mencelah masuk ke bilik mesyuarat, mereka turut melaungkan ‘Tidak mahu panel bebas, kami mahu suruhanjaya diraja'. Beberapa orang ahli KeADILan tidak teraga-agak menampal di dahi mereka perkataan tertulis 'Stop Meeting'. - mr

No comments: