Thu | Oct 04, 07 | 8:44:46 am MYT
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Hrkh) - Walaupun telah hampir setahun pertemuannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad diadakan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap tidak menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh orang yang melantiknya itu.
"Pertemuan tersebut di adakan dua hari menjelang Hari Raya tahun lalu. Pelbagai perkara dibangkitkan oleh Dr Mahathir dalam pertemuan itu termasuk penglibatan anak dan menantunya, tindakan menjadikan Malaysia negara polis, tindakan menyekat bekas Perdana Menteri itu bercakap dengan ahli-ahli Umno, kewujudan nama Perdana Menteri dalam beberapa buah syarikat yang mengendalikan soal minyak untuk makanan di Iraq, jambatan bengkok, Proton, AP dan (Datuk Seri) Rafidah Aziz," katanya.
Malangnya, kata Mahfuz lagi, tidak ada satu pun dari pelbagai perkara yang dbangkitkan oleh Dr Mahathir itu yang dijawab oleh Perdana Menteri, walaupun kabinet pernah membuat keputusan untuk menjawab semua perkara yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri itu.
"Seperti yang saya nyatakan selepas pertemuan itu, ini bukan persoalan peribadi di antara dua orang yang pernah berkerja bersama atau persoalan ayam itek dua orang yang berjiran.
"Apa yang dikritik oleh Dr Mahathir selama ini ialah kegagalan Abdullah menjadi Perdana Menteri yang berkesan dan boleh diyakini mempertahankan kedaulatan dan maruah negara," katanya.
Beliau mempersoalkan, sehingga berapa kali Ramadankah Perdana Menteri berkeras untuk kekal dengan sifat tidak bertanggungjawab kepada rakyat dan negara.
"Tidak cukup hanya mencatit dalam buku kecil seperti Cina ikan mencatit buku hutang tetapi selepas itu tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyelesaikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir kerana perkara-perkara tersebut boleh membawa kemusnahan kepada negara," kata Mahfuz.
Mahfuz tidak menolak kemungkinan bahawa sikap Perdana Menteri yang seolah-olah mengundang kemusnahan kepada negara itu menyebabkan Dr Mahathir tertekan dan sakit.
Beliau juga mengharapkan keadaan kesihatan Dr Mahathir akan bertambah baik agar beliau dapat meneruskan usaha untuk membetulkan kesilapannya mengangkat Abdullah sebagai penggantinya.
No comments:
Post a Comment