Thursday, October 04, 2007

Tiada kekaburan terma rujukan panel – Najib

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Tiada kekaburan dalam terma rujukan yang diberikan kepada panel bebas yang diwujudkan bagi menentukan kesahihan klip video memaparkan seorang peguam kononnya sedang berbincang mengenai pelantikan hakim-hakim dengan seorang hakim kanan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, panel itu tidak sepatutnya memanggil saksi dan mengetahui terma rujukan mereka.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan buku Your Rights and the Law, yang ditulis oleh Ketua Hakim Peguam Kementerian Pertahanan, Teo Say Eng.

Panel itu, yang ditubuhkan pada 25 September, diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor. Dua lagi anggotanya ialah aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Najib mengulas mengenai kuasa panel itu untuk menyiasat kesahihan klip video berkenaan.

Panel itu mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini, yang turut dihadiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Ditanya sama ada panel itu akan dapat membuat kesimpulan, Najib berkata, boleh meskipun panel itu tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi.

Sementara itu, Teo, seorang bekas hakim Mahkamah Sesyen dan timbalan pendakwa raya, berkata, buku itu disasarkan terutamanya kepada orang ramai yang tidak mempunyai latar belakang perundangan.

Buku itu, keluaran terbaru Lexisnexis Malaysia, dijual pada harga RM49.90 dan dapat diperoleh di kedai buku utama. Versi bahasa Malaysia akan berada di pasaran hujung bulan ini.

– Bernama

No comments: