Thursday, October 04, 2007

Sebulan siasat klip video

Oleh Anwar Hussin

Panel bebas minta pihak ada bukti tampil bantu kes perbualan peguam, hakim

KUALA LUMPUR: Panel Bebas Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat klip video perbualan seorang peguam dengan seorang hakim kanan berhubung pelantikan hakim, diberi tempoh sebulan untuk menyiapkan siasatan itu.

Pengerusinya, Tan Sri Haidar Mohd Noor, berkata kerajaan mahu laporan hasil siasatan itu dikemukakan dalam tempoh 30 hari bekerja daripada tarikh penubuhan panel berkenaan pada 27 September lalu.

Haidar yang juga bekas Ketua Hakim Malaya berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama panel itu di Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di sini, semalam.

Mesyuarat hampir empat jam itu dihadiri dua anggota panelnya, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye. Hadir sama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Ahmad Said Hamdan.

Haidar berkata, ketiga-tiganya hadir bagi memberi kerjasama dan membincangkan bagaimana agensi masing-masing boleh memberi bantuan bagi menyelesaikan siasatan itu.

Pertemuan pertama panel itu bagaimanapun diganggu kira-kira 20 penyokong Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkumpul di luar bilik mesyuarat.

Kumpulan itu mahu menyerahkan memorandum mendesak supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kes itu, tetapi penyokong parti dan NGO terbabit gagal menemui ahli panel berkenaan.

Haidar berkata, mana-mana pihak yang mempunyai bukti berhubung klip video berkenaan perlu tampil sukarela bagi membantu siasatan. Panel itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memanggil mana-mana pihak memberi keterangan walaupun mereka mempunyai bukti.

�Kami bukan Suruhanjaya Siasatan Awam yang mempunyai kuasa memanggil mana-mana pihak dan terikat dengan undang-undang. Pemberi maklumat juga tidak dilindungi undang-undang.

�Maklumat yang diperoleh panel adalah bergantung kepada badan kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Badan Pencegah Rasuah dan Jabatan Peguam Negara,� katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh menghubungi urus setia Bahagian Perundangan, Jabatan Perdana Menteri, sebelum ia dimaklumkan kepada panel berkenaan untuk diteliti.

Haidar berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk memberi maklumat kerana panel itu bebas daripada campur tangan mana-mana pihak termasuk kuasa eksekutif.

Katanya, orang ramai yang ada maklumat mengenai perkara itu harus mengutamakan tanggungjawab kepada negara.

Mahadev pula mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak melemparkan sebarang tohmahan terhadap ahli panel itu.

�Jangan lempar batu ke arah kami dan kemudian sembunyikan tangan. Berilah kami peluang menjalankan tanggungjawab kami, tunggulah sehingga siasatan kes ini selesai,� katanya.

No comments: