Thu | Oct 04, 07 | 3:27:05 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Hrkh) - Walaupun keputusan Pilihan raya Kampus 2007/2008 (PRK) telah diketahui, namun masih terdapat dua kampus iaitu Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sabah yang masih belum diumumkan.
Apa yang dikesali, laporan dalam Berita Harian semalam yang menyiarkan kenyataan Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ustaz Hamidon Abdul Hamid yang menyatakan bahawa kampus tersebut telah dimenangi oleh kumpulan Aspirasi sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Mantan MPP UIAM, Hanipa Maidin berkata kenyataan Hamidon tersebut seolah-olah tidak dapat menerima kekalahan Aspirasi seterusnya berusaha untuk membodek pihak kerajaan.
Mengulas tentang perjalanan PRK tahun ini, beliau membuat perbandingan yang katanya sangat ketara perbezaannya pada zaman beliau dengan masa sekarang yang begitu menekan dan tidak lagi bebas.
"PRK sudah jadi tersangat teruk kerana wujudnya arahan-arahan tertentu daripada luar kampus. Universiti tidak lagi bebas, kerana kakitangannya rela menjadi budak suruhan," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Hanipa yang juga merupakan AJK PAS Pusat berpandangan bahawa PRK begitu sinonim dengan pilihan raya umum yang akan datang.
"Sekiranya anda lihat keadaan seperti penamaan semula di UIAM, keganasan di UPM, pengundi hantu di UM, cctv mengawasi pelajar, maka hal demikian jugalah yang telah dan akan berlaku pada PRU nanti," jelasnya.
Ujarnya, senario yang berlaku ini menandakan kepincangan politik luar telah meresap masuk ke dalam universiti-universiti seterusnya dibudayakan kepada generasi intelek muda ini.
"UIAM akan mengikut perangai dan budaya Umno-BN, macam kembar siam," tegasnya lagi.
Hanipa yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, apa yang terjadi dalam PRK adalah refleks daripada seluruh sistem demokrasi yang telah hancur seumpama kejadian 5 September di Batu Buruk.
Tegasnya, ini adalah berpunca daripada tindakan parti pemerintah yang menyalahgunakan kuasa dan jentera kerajaan untuk menghancurkan sistem demokrasi mengikut nafsu serakah mereka tanpa memikirkan kesannya pada generasi dan masa depan negara.
Tambahnya, kerajaan Umno-BN perlu menerima hakikat bahwa ramai pengundi yang tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi dalam PRU 12 adalah terdiri daripada generasi muda yang telah kecewa dengan sistem yang ada setelah melihat kepincangan yang berlaku dalam Institusi Pengajian Tinggi.
"Hal ini sangat merbahaya kerana ia akan mengambil undang-undang negara yang ada mengikut tafsiran sendiri," katanya lagi.
Mengulas mengenai kemungkinan MPP UIAM yang baru diisytiharkan menang ini akan berhadapan dengan masalah yang sama seperti kabinet yang lalu, Hanipa tidak menolak dakwaan itu.
"Aspirasi UIAM sekarang ini umpama singa yang sedang luka, dan biasanya ia semakin garang. Jadi mereka boleh melakukan apa sahaja," ujarnya.
Apapun, beliau berharap agar jangkaan tersebut tidak benar bahkan mereka akan mendapat kerjasama yang lebih baik dalam menjalankan aktiviti yang dirancangkan.
MPP UIAM sesi 2006/2007 telah digantung tanpa disahkan kabinetnya selama lebih empat bulan selepas diisytiharkan menang dalam PRK tanpa sebarang alasan yang kukuh.
Mereka juga tidak dibenarkan menggunakan bilik operasi persatuan serta dihalang daripda menjalankan sebarang program di kampus tersebut. - mks.
No comments:
Post a Comment