Thursday, October 04, 2007

Panel khas mula siasat -- Maklumat orang ramai boleh bantu kes klip video peguam-hakim

Oleh YULPISMAN ASLI


HAIDAR Mohamed Noor (kiri) dan dua panel bebas, Mahadev Shankar dan Lee Lam Thye pada sidang media selepas mesyuarat kali pertama panel khas itu yang diadakan di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Halim Khalid.

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Orang ramai yang mempunyai maklumat atau bukti mengenai rakaman klip video seorang peguam bela dan peguam cara berbual melalui telefon berhubung urusan pelantikan hakim-hakim diminta tampil bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh panel bebas khas yang ditubuhkan.

Pengerusi panel itu, Tan Sri Haidar Mohamed Noor berkata, bantuan orang ramai diperlukan bagi membolehkan pihaknya menyelesaikan siasatan dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh pelantikan, seperti ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau berkata, mereka yang mempunyai bukti dengan asas yang kukuh, boleh menyerahkannya kepada urus setia panel di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, mereka bagaimanapun perlu mengemukakan bersama maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon untuk dihubungi.

“Mana-mana pihak yang ada bukti, sila tampil bagi membantu siasatan. Tetapi, mereka perlu memastikan maklumat atau bukti yang hendak diberikan berasas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat pertama panel tersebut.

Mesyuarat selama hampir empat jam itu yang diadakan di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), turut dihadiri oleh anggota panel, Datuk Mahadev Shankar dan Tan Sri Lee Lam Thye.

Pada mesyuarat itu, anggota panel turut mengadakan pertemuan tertutup dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan.

Pertemuan itu bagi membincangkan bentuk kerjasama yang boleh diberikan oleh ketiga-tiga agensi tersebut kepada panel yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 25 September lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan penubuhan panel itu berkata, keputusan tersebut diambil memandangkan wujud dakwaan dan spekulasi berhubung rakaman video itu yang boleh menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti sistem kehakiman negara.

Menurut Haidar, dalam pertemuan itu, ketiga-tiga agensi berkenaan telah memberi jaminan untuk memberikan kerjasama bagi membolehkan pihaknya menjalankan tugas sebagaimana diperuntukan oleh undang- undang.

Sementara itu, mengenai bidang kuasa panel berkenaan, Mahadev berkata, panel itu tidak ada kuasa untuk memanggil mana-mana pihak termasuk peguam yang dikaitkan dalam klip video terbabit untuk tampil memberikan keterangan.

“Bidang tugas panel adalah menentukan kesahihan rakaman klip video yang mengandungi imej seorang peguam bela dan peguam cara berbual melalui telefon mengenai urusan pelantikan hakim-hakim,” katanya.

Mahadev bagaimanapun menegaskan, panel itu adalah bebas daripada sebarang tekanan termasuk campur tangan pihak eksekutif dalam menjalankan tugasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai terutama mereka yang mempunyai maklumat atau bukti tentang klip video tersebut supaya lebih bertanggungjawab dengan tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

No comments: