Wed | Sep 26, 07 | 4:18:32 pm MYT
Sebagai pemimpin media, adakalanya kita bebal dan dangkal seketika. Kita menjangka sesuatu isu yang diketengahkan sebagai suatu propaganda yang boleh mempengaruhi massa atau meningkatkan imej, sebaliknya ia memberi impak negatif dan merendahkan martabat diri.
Kita menjadi malu kerana kebebalan sendiri. Dan yang lebih teruk serta tragis adalah kita tidak tahu bahawa sebenarnya kita adalah bebal.
Suatu kisah yang menarik di India baru-baru ini apabila Kementerian Penyiaran dan Maklumat India menggantung lesen penyiaran televisyen LiveIndia selama sebulan kerana menyiarkan laporan palsu mengenai seorang guru yang didakwa melacurkan anak muridnya.
Laporan yang disiarkan oleh televisyen ini telah menyebabkan guru terbabit, Uma Khurana,42, dibogel di khalayak ramai dan dipukul keluarga murid.
Siasatan polis bagaimanapun membuktikan laporan itu diada-adakan dan lesen LiveIndia digantung kerana menganiaya Khurana.
Polis turut menahan wartawan LiveIndia, Prakash Singh yang menggunakan khidmat seorang gadis yang menyamar sebagai pelajar Khurana. Menurut maklumat, Prakash mencipta isu tersebut untuk menaikkan imejnya.
Terbukti bodoh dan bebal
Prakash dan pemimpin tv terbabit yang sebelum ini disanjung dan hebat akhirnya terbukti bodoh dan bebal. Fikirannya bercelaru untuk mencari publisiti atau mengadakan propaganda dan akhirnya menjadi bebal apabila rahsianya terbongkar.
Inilah yang dikatakan strategi media. Mereka tahu pentingnya bahan berita dan bagaimana sesuatu propaganda boleh mempengaruhi masyarakat umum ataupun mungkin meningkatkan imej peribadi.
Keadaan turut berlaku di negara ini. Pada ketika ini, pemimpin media massa terutamanya media elektronik mempunyai tiga isu yang boleh dijadikan penting dan dianggap sebagai political mileage yang membabitkan demontrasi dan semangat cintakan negara.
Tiga isu yang berkaitan adalah isu seorang pelajar tempatan yang belajar di universiti Taiwan yang mengubahsuai lagu negaraku, kedua demontrasi babi di Melaka dan ketiga rusuhan di Batu Buruk, Terengganu yang dikaitkan dengan Pas.
Perusuh isu babi di Melaka juga bawa senjata tajam
Dengan menunggu tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan Barisan Nasional dan Polis terhadap pelajar terbabit dan perusuh di Melaka, rupa-rupanya rusuhan di Batu Burok mendapat keutamaan terlebih dahulu.
Seluruh masyarakat telah melihat pelajar tersebut di sidang media bersama dengan pemimpin MCA telah bertutur di dalam bahasa Inggeris memohon maaf di atas keterlanjurannya dan mengaku setia kepada negara. Pemimpin Barisan Nasional berjanji akan tetap mengenakan tindakan terhadap pelajar terbabit.
Seluruh masyarakat turut melihat di TV3 bagaimana sikap perusuh yang membawa senjata tajam dan menyediakan jentolak ketika berhadapan dengan FRU semasa isu babi di Melaka.
Seperti kata wartawan TV3, Karam Singh Walia: Tiada satu pun tindakan yang diambil terhadap perusuh di Melaka, malah seekor anak babi pun tidak dibawa keluar (ketika itu.
Sebagai warganegara yang cintakan keamanan dan taat setia kepada negara, kita terus menunggu tindakan yang akan diambil terhadap pelajar terbabit dan perusuh-perusuh di Melaka yang jelas wajah mereka keluar di kaca TV3.
Mengapa Batu Burok jadi keutamaan polis
Bagaimanapun kerajaan Barisan Nasional dan polis telah bertindak tegas dan sebagai suatu keutamaan mahu menghukum perusuh-perusuh di Batu Burok, Terengganu.
Kerajaan sememangnya wajar bertindak demikian agar ia boleh menjadi contoh kepada masyarakat lain agar lebih berhati-hati ketika menangani sesuatu isu terutamanya isu yang berkaitan dengan politik dan negara.
Kerajaan Barisan Nasional dan polis sentiasa mendakwa bahawa mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada sesiapa yang melanggar undang-undang tanpa mengira bangsa dan kedudukan. Bagaimanapun tindakan tegas dikenakan dahulu kepada perusuh-perusuh di Batu Burok.
Kita tidak mempersoal atau meragui kenapa perusuh di Batu Buruk perlu lebih diberi keutamaan kepada dua isu yang sebelumnya. Kerajaan dan pasukan polis mempunyai hak walaupun mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pihak, tetapi janganlah tindakan itu dilihat berpilih-pilih atas kepentingan politik pemerintah.
Bagaimanapun kita cukup kecewa dengan mentaliti bebal sesetengah pemimpin media terutamanya yang menguasai RTM, khususnya televisyen, yakni sama bebal dengan pemimpin dan wartawan televisyen LiveIndia.
Saya merujuk terus kepada Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin (Zam).
Walaupun mereka mempunyai hak untuk memilih antara tiga isu yang menarik perhatian itu, mengapa mereka telah mengutamakan isu rusuhan Batu Burok di Terengganu?
Pada awalnya pemimpin yang bermentaliti bebal ini memaparkan slot rusuhan di Batu Burok dikaitkan dengan rusuhan di negara Islam lain seperti Pakistan. Gambaran yang mahu ditunjukkan adalah golongan pelampau agama atau pengganas Islam di seluruh dunia termasuk di Batu Burok.
Pemimpin yang bermentaliti bebal ini tanpa disedari telah berkongsi ide dan propaganda media Barat untuk membuktikan Islam adalah agama ekstrim yang perlu dibanteras.
Zam bagi laluan buat dakyah, propaganda Barat
Dalam keadaan tokoh dan intelektual Islam mempertahan dengan penuh getir dan laluan berliku pelbagai dakyah dan propaganda media Barat ini, RTM dengan sengaja memberi laluan wujudnya pengganas Islam di negara ini.
Tindakan pemimpin sebebal Zam ini, juga secara tidak langsung memberi laluan kepada media Barat untuk mengambil slot yang disediakan oleh RTM ini bahawa Malaysia juga adalah sarang pengganas.
Pemimpin dan cendekiawan Islam Malaysia bersusah-payah menganjurkan pelbagai dailog dan seminar antara agama dan kaum lain tetapi RTM bertindak sebaliknya.
Pemimpin bebal ini (Zam) perlu menjawab segala tuduhan media Barat sekiranya mereka bertindak bahawa Malaysia adalah tempat melahirkan pengganas agama!
Mungkin telah menyedari hakikat bahawa slot yang mengaitkan rusuhan di Batu Burok dengan rusuhan di negara Islam lain telah memberi impak negatif, pemimpin bebal (Zam) ini telah menukar propaganda dengan mendedahkan skop yang lebih kecil iaitu isu rusuhan Batu Buruk sahaja.
Ini juga sudah disifatkan terlambat dan kini golongan intelektual, para ulama dan pencinta Islam negara menunggu sahaja sahaja paparan media Barat.
Pemimpin media elektronik mendedahkan slot hampir setiap hari mengenai isu rusuhan di Batu Burok dengan harapan agar pengundi-pengundi bukan Islam dan "Islam moderat" terpengaruh dan menolak PAS serta pelajar yang belajar di "sekolah pondok".
Propaganda ciptaan pemimpin bebal ini (Zam) memberikan gambaran seolah-olah seluruh negara semakin teruk dan terdesak dengan rusuhan terbabit sedangkan para pelajar dan pendidik di pondok-pondok pengajian di Kelantan, Kedah dan Perlis terus tekun belajar tanpa sebarang gangguan.
Isu rusuhan di Batu Burok adalah isu terpencil. Ia boleh diselesaikan di peringkat daerah dengan mengambil kira perbincangan dari semua pihak yang terbabit.
Ia tidak perlu dijadikan isu nasional kerana terdapat ahli dan penyokong PAS serta pelajar-pelajar di pondok yang masih mengekalkan keamanan, bertugas sebagai kakitangan dengan kerajaan Barisan Nasional.
Zam bersalah besar
Apa gunanya kaedah musyawarah yang diamalkan oleh pemimpin Islam sejak zaman berzaman daripada melakukan berita provokasi yang boleh merosakkan keseluruhan perpaduan umat Islam di negara ini yang sentiasa aman sejak 50 tahun yang lalu.
Jika pemimpin bebal ini (Zam) menganggap ia sebagai strategi atau propaganda media, ternyata ia telah melakukan suatu kesilapan yang cukup besar. Strategi atau propaganda media yang baik adalah melaporkan isu yang boleh menyebabkan penonton atau pembaca menilai sendiri isu yang dipaparkan.
Bukan sogokan proganda murahan seperimana lazimnya yang dilakukan oleh media Barat terutamanya terhadap umat Islam. Apa gunanya investigative reportingjika mahu menjadi juara imej dan propaganda.
Hentikanlah segera berfikiran bebal. Berfikirlah secara bijaksana dan lebih terbuka. Jadilah pemimpin media yang sentiasa mahukan keharuman dan wangi sekuntum bunga daripada menghidu tahi yang berselerakkan.
Hanya manusia yang berfikiran celaru dan bebal sahaja yang suka menghidu benda-benda yang busuk!
No comments:
Post a Comment