Oleh Wan Hazmir Bakar
Tiga individu sedia laporan kesahihan rakaman perbualan telefon peguam, hakim
PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan Panel Bebas Khas bagi menyiasat kesahihan rakaman video perbualan telefon antara seorang peguam dengan seorang hakim kanan, yang didakwa kononnya berkaitan urusan pelantikan Ketua Hakim Negara pada 2002.
Panel dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor (gambar) itu, dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan membuat keputusan menubuhkan panel bebas itu kerana dakwaan dan spekulasi pihak tertentu berhubung isu berkenaan boleh menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti serta integriti sistem kehakiman negara.
Video selama kira-kira lapan minit yang dirakamkan empat tahun lalu itu, disiarkan dalam internet selepas pembangkang mendedahkan mengenai dakwaan itu.
Ditanya apakah panel itu akan memanggil mereka yang terbabit dalam rakaman video itu untuk disoal siasat, Najib berkata ia akan melakukan segala yang perlu bagi menentukan kesahihannya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, panel khas itu juga akan mendapatkan bantuan dan sokongan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
"Ia adalah menyeluruh dalam erti kata ada siasatan, analisis bukti dan membuat rumusan. Laporannya akan dikemukakan kepada kerajaan dan hasilnya akan diumumkan," katanya.
Najib berkata, beliau akan menemui anggota panel itu bagi membincangkan keperluan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
Beliau bagaimanapun menolak andaian kononnya penubuhan panel itu mempunyai kaitan dengan desakan Majlis Peguam Malaysia supaya sebuah suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi mengendalikan isu itu.
"Tidak. Cuma terdapat kebimbangan yang sama di kalangan masyarakat. Mereka mahu persoalan berhubung integriti dan kehakiman dijawab," katanya.
Ditanya apakah panel bebas itu akan menjurus kepada penubuhan Suruhanjaya Diraja, Najib berkata, kerajaan tidak berhasrat berbuat demikian pada masa ini.
"Cukuplah panel bebas ini untuk menyiasat," katanya.
Mengenai cadangan Majlis Peguam untuk mengadakan perarakan dari Palace of Justice di sini hari ini sebagai tanda bantahan dan menuntut supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan, Najib berkata, polis mampu mengendalikan sebarang situasi.
"Kami yakin dengan polis," katanya.
No comments:
Post a Comment