Wednesday, September 26, 2007

Majlis Peguam serah memorandum, tuntut tubuh Suruhanjaya Di Raja

Salmiyah Harun
Wed | Sep 26, 07 | 5:46:57 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Majlis Peguam Malaysia bertegas menuntut satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan bagi menyiasat skandal badan kehakiman negara walaupun kerajaan telah melantik panelnya yang dianggotai tiga orang untuk menyiasat skandal itu.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan berkata, walaupun kerajaan sudah melantik tiga orang panel bagi menyiasat skandal itu tetapi mereka tidak mempunyai kuasa sebagaimana Suruhanjaya Di Raja.

"Panel tiga orang mungkin tidak ada kuasa seperti Suruhanjaya Di Raja jadi mungkin mereka akan mendapatkan maklumat siasatan dengan cara lain,"katanya ditemui media di tengah-tengah hujan lebat.

Dilaporkan panel bebas itu dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Mahadev Shankar.

Bagaimanapun, Ambiga tidak menolak sekiranya tiga panel berkenaan untuk memulakan sisatan skandal itu tetapi beliau menegaskan suruhanjaya mempunyai kuasa lebih besar dalam hal ini.

Ambiga menegaskan, Suruhanjaya Di Raja hendaklah dianggotai antaranya Ketua Peguam Negara, Ketua Hakim, Presiden dan Naib Presiden Majlis Peguam serta tiga orang awam.

"Adanya suruhanjaya ini mereka ada kuasa untuk membuat siasatan berhubung kes ini," tegasnya.

Tambahnya, perarakan besar-besaran pada hari ini adalah atas dasar kepentingan awam bukannya individu.

Perarakan Majlis Peguam pada hari ini merupakan kali ketiga dalam masa 30 tahun. Perarakan pertama pada tahun 1978 iaitu berhubung Akta Pertubuhan dan yang kedua pada tahun 1998 berhubung kes penghinaan Mahkamah oleh Zainur Zakaria.

Kira-kira 1,500 orang termasuk anggota Majlis Peguam berarak sejauh 3.5 km bermula di depan Istana Keadilan ke Jabatan Perdana Menteri untuk menyerahkan dua memorandum iaitu Menubuhkan Suruhajaya di Raja mengkaji video klip perbualan antara VK Lingham dan seorang hakim serta menubuhkan Suruhanjaya Bebas Perlantikan Badan Kehakiman.

Dua memorandum berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Menurut Ambiga, Wan Ahmad Farid memberi jaminan akan mengaturkan satu perjumpaan antara Majlis Peguam dengan Perdana Menteri memandangkan Abdullah Badawi masih berada di luar negara.

Ambiga yang ditemani Naib Presidennya, Ragunath Kesavan dan Setiausaha, Lim Chee Wee dibenarkan naik ke pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum berkenaan kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Para peserta perarakan bagaimanapun terus menunggu di bulatan Dataran Masjid Putrajaya bertentangan pagar utama Jabatan Perdana Menteri dalam keadaan hujan lebat yang bermula sebaik sahaja wakil mereka masuk ke pejabat Perdana Menteri. Para peguam masih memakai pakaian rasminya walaupun di awal perarakan sedikit panas sehinggalah hujan lebat.

Sebelum itu, sebaik para peserta tiba di bulatan Dataran Masjidr selepas berarak kira-kira 45 minit 20 anggota FRU bertindak menyekat perarakan itu tetapi berjaya ditembusi mereka.

Ini membuatkan anggota FRU sedikit kelam kebut dan kedengaran salah seorang anggotanya melaungkan 'move, move,move' kepada anggotanya yang masih berjalan menuju ke pagar utama Pejabat Perdana Menteri.

Terdahulu, pihak polis melarang tujuh buah bas membawa orang ramai dan para peguam dari Kuala Lumpur untuk menyertai perarakan daripada memasuki kawasan Putrajaya.

Kira-kira 200 orang menaiki bas-bas tersebut terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer menuju ke Istana Keadilan.

Mereka turut membawa kain tentang serta melaungkan slogan, antaranya berbunyi 'Rakyat Hakim Negara', 'No to Corruption', dan 'Selamatkan Badan Kehakiman'.

Mereka mula berkumpul di Palace of Justice jam 11 pagi dan mula bergerak kira-kira jam 12 tengahari. - mks.

No comments: