Oleh Rozaman Ismail dan Habibah Omar
PUTRAJAYA 25 Sept. – Kerajaan menubuhkan sebuah panel khas bagi menyiasat kesahihan rakaman video perbualan telefon kononnya antara seorang peguam terkenal dengan seorang hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim.
Panel bebas itu dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan penubuhan panel itu berkata, keputusan tersebut diambil memandangkan wujud dakwaan dan spekulasi berhubung rakaman video itu yang boleh menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti sistem kehakiman negara.
“Setelah berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan panel bebas khas bagi menyiasat kesahihan rakaman video itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sebuah parti politik pembangkang baru-baru ini mendedahkan satu rakaman video yang kononnya menunjukkan seorang peguam kanan sedang berbual menerusi telefon tentang usahanya membantu pelantikan beberapa hakim pada 2002.
Rakaman video selama lapan minit itu melibatkan peguam berkenaan membincangkan kemungkinan hakim itu dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan kemudian sebagai Ketua Hakim Negara selain pelantikan beberapa hakim lain.
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan, kerajaan memandang serius isu klip video itu kerana ia boleh menjejaskan nama baik sistem kehakiman negara dan polis akan menyiasat bagi memastikan kesahihannya sebelum tindakan diambil.
Menurut Najib, panel khas itu akan memulakan tugasnya dalam waktu terdekat dan akan menyediakan laporan terperinci secepat mungkin kepada kerajaan setelah penyiasatan selesai.
Bagi tujuan itu, kata beliau, agensi-agensi yang berkaitan akan memberi kerjasama dan sokongan sepenuhnya kepada panel berkenaan.
“Laporan panel ini dijangka diketahui dalam tempoh beberapa minggu dan akan diumumkan kepada orang ramai,” katanya.
Menjawab satu soalan, Najib berkata, pada masa ini kerajaan tidak berhasrat untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara itu.
Ditanya mengapa Haidar, Lam Thye dan Mahadev dipilih menganggotai panel itu, Najib memberitahu, beliau telah bercakap dengan ketiga-tiganya dan mereka didapati sesuai untuk menganggotai panel berkenaan.
Anggota panel itu, kata Timbalan Perdana Menteri, akan menganalisis rakaman video tersebut serta perkara-perkara yang berkaitan.
“Jika perlu, mereka boleh membuat keputusan untuk memanggil orang dalam rakaman berkenaan,” katanya.
Mengenai perarakan peguam yang dirancang oleh Majlis Peguam dari Istana Kehakiman ke Kompleks Perdana Putra di sini esok bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Perdana Menteri, Najib berkata, terpulang kepada Majlis Peguam dan pihak berkuasa untuk mengadakan perarakan itu.
“Apa pun, polis boleh mengawal sebarang keadaan dan kita yakin polis mampu mengawalnya,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment