Wednesday, September 26, 2007

Kes Video VK Lingam: PAS mahu panel khas diberi kuasa mendakwa

Azamin Amin
Wed | Sep 26, 07 | 12:43:55 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Sungguhpun pada asasnya bersetuju dengan tindakan kerajaan menubuhkan sebuah panel khas bagi menyiasat kesahihan rakaman video perbualan telefon antara seorang peguam terkenal mengenai urusan pelantikan hakim, PAS masih mendesak supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi tujuan tersebut.

Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar berkata desakan ini bagi memastikan siasatan tersebut mengikut prosedur undang-undang dan di samping mahukan ketelusan.

Justeru, beliau berharap panel khas yang ditubuhkan ini dapat mempercepatkan hasil siasatan yang sehingga kini dilihat mengundang kontroversi, membimbangkan rakyat termasuk memburukkan imej badan kehakiman negara di mata dunia.

"Kita juga mahu panel khas ini diberi kuasa macam mahkamah seperti mendakwa, ada kuasa bukan setakat menyiasat kesahihan rakaman tetapi berkuasa untuk memanggil individu-individu yang berpengaruh yang terlibat dalam isu ini," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.net sebentar tadi sejurus selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen.

"Walaupun tidak jelas fungsinya, kita mahu panel kkas ini segera menyiapkan hasil siasatannya dan selepas itu tetap menubuhkan Suruhanjaya Diraja," katanya yang turut menyatakan kes ini membabitkan integriti badan kehakiman negara yang boleh memberi kesan kepada proses perundangan dan sebarang keputusan berhubung peghakiman.

Dilaporkan Panel bebas itu dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Mahadev Shankar.

Sebelum ini Kamaruddin turut menyelar sikap Perdana Menteri dan Timbalannya yang memberi jawapan-jawapan yang tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menutup isu besar itu dari mata rakyat.

"Dalam isu konspirasi kehakiman pula jelas Anwar mendedahkan klip video yang dikatakan membabitkan perbualan antara VK Lingham dan seorang hakim yang disyaki, Tun Ahmad Fairuz, tetapi pihak hakim dan kerajaan pimpinan Abdullah sebaliknya mahu menutup isu ini," katanya sebelum ini yang juga ahli Parlimen Tumpat.

"Setakat ini kata PM dan TPM hanyalah klip ini perlu dipastikan sahihnya. Dalam kes Altantuya, bukti pendakwaraya bermain badminton tidak pun dikemukakan tetapi tindakan untuk menggantikan pendakwaraya terus dilakukan. Buktinya mana, tiada pun pihak yang menanyakannya," tegasnya.

"Apa yang dilakukan PM hanya memberi amaran kepada pihak yang mendedahkan kes ini jika klip video itu tidak benar mereka akan diambil tindakan. Ini kes besar jangan kata tak ada bukti," tegasnya.

Menjawab soalan berhubung masyuarat yang dihadirinya tadi, Kamaruddin berkata antara lain yang dibincangkan PAC ialah untuk memanggil agensi-agensi kerajaan yang dilihat ketara berlaku kepincangan penguruasn kewangan dan perbelanjaan seperti yang dilaporkan Ketua Audit Negara baru-baru ini. - mns

No comments: