Wed | Sep 26, 07 | 6:06:43 pm MYT
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Ketiga-tiga wakil rakyat Umno-BN, iaitu ahli Dewan Negara, Senator Datin Paduka Norhayati Onn, Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib dan Ahli Parlimen Gombak Dato' Dr Rahman Ismail mesti disiasat segera bagi membersihkan imej mereka yang dikaitkan dengan salah-laku moral seperti yang didedahkan baru-baru ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Iskandar Abd Samad berkata biarpun belum disabitkan kesalahan, sudah ada bukti-bukti yang dinyatakan dan laporan polis juga telah dibuat, maka sewajarnya ketiga-tiga mereka digantung daripada tugas sehingga siasatan dijalankan.
"Kerajaan negeri Selangor di bawah Dato' Seri Khir Toyo mesti segera bertindak kerana ini melibatkan kewibawaan pemimpin Umno-BN yang sudah diragui umum," katanya.
"Mesti come-up with full investigation segera dan tidak boleh didiamkan begitu sahaja kerana sudah menjadi bualan orang ramai yang sudah hilang keyakinan kepada mereka ini termasuk tidak boleh menjadi tauladan yaang baik kepada masyarakat," katanya ketika dihubungi harakahdaily.net sebentar tadi.
Beliau diminta mengulas berita yang didedahkan Harakah keluaran 20 September lalu berhubung salah laku 'anak buah' Dr Khir Toyo yang dilihat bukan sahaja menjejaskan nama baik Umno-BN Selangor tetapi juga melambangkan perilaku negatif yang tidak sepatutnya dikaitkan dengan mana-mana wakil rakyat.
Sepatutnya kerajaan, kata beliau, mencontohi negara luar seperti di United Kingdom (UK) yang serta-merta menggantung atau memecat wakil rakyat atau penjawat awam yang terlibat dengan skandal moral atau penyalahgunaan kuasa bagi menjaga integriti dan kewibawaan kerajaan mereka.
Beliau turut memberi contoh John Prescott Timbalan Perdana Menteri England yang meletakkan jawatan pada 27 Jun 2007 berhubung salah laku moralnya.
Peribadi dan kerjaya politik tidak boleh dipisahkan
Jika sabit kesalahan, kata Iskandar, mesej jelas kepada rakyat ialah agar mereka menolak pemimpin jenis ini yang seringkali cuba membezakan antara private life dan kerjaya politik sedangkan akhlak memainkan peranan penting untuk dijadikan sandaran bagi rakyat menilai kepimpinan mereka.
"Saya pernah mendengar dan membaca kenyataan seorang menteri kanan yang menyatakan bahawa yang penting kerja seseorang itu bagus; maka tidak apa sekiranya dia mempunyai perempuan simpanan. Tanggapan itu sebenarnya salah dan tidak menurut prinsip-prinsip agama yang amat mementingkan akhlak seseorang pemimpin," kata Yang Dipertua PAS Pandan itu.
"Bagaimana masyarakat, khususnya remaja, tidak terlibat dengan kegiatan melanggar batasan akhlak apabila pemimpin mereka sendiri turut melakukan perbuatan sama?" katanya.
Mengulas isu sama, Yang Dipertua PAS Serdang, Dr Shafie Abu Bakar yang dihubungi harakahdaily.net menganggap isu yang didedahkan ini begitu serius dan mesti ditangani atau dijawab segera oleh kepimpinan Umno Selangor.
"Dengan isu ini, maka keangkuhan Umno Selangor yang begitu yakin boleh menang semua kerusi pada pilihan raya umum akan datang semakin tercabar," kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang itu.
Katanya, pembongkaran ini adalah lanjutan daripada pelbagai kes dan salah laku kebanyakan pemimpin Selangor seperti kes wakil rakyat Pelabuhan Klang, Dato' Zakaria Mat Deros dan ada di antara kes-kes berkenaan disembunyikan daripada pengetahuan umum.
"Dahulu Umno Selangor berdepan dengan penyalahgunaan harta dan kuasa, kali ini memasuki tahap kritikal iaitu terlibat pula dengan skandal salah laku moral yang pasti akan menghilang keyakinan rakyat terhadap mereka," katanya yang turut mahukan satu siasatan segera dilakukan ke atas mereka yang terbabit.
Hanya setahun selepas Dr Khir Toyo dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, iaitu sekitar hujung 2001, aktivis media Ahmad Lutfi Othman membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) memperincikan beberapa dakwaan terhadap menteri besar termuda itu, antaranya membabitkan kekayaan luar biasanya serta kelulusan beberapa lot tanah yang mencurigakan, di samping menganugerahkan projek membina jalan di Sekinchan kepada kontraktor yang hampir disenarai-hitamkan.
Perlu jawab segera bagi elak kekeliruan
Dalam pada itu, terdapat sembilan laporan polis terhadap Senator Datin Paduka Norhayati Onn yang juga Ketua Wanita Umno Klang yang masih tidak diketahui perkembangan terkini dan status siasatan oleh pihak Polis, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Selangor. Ia dilihat boleh menimbulkan syak dan menjejaskan nama baik mereka yang terbabit dan oleh itu harus dijawab segera bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul.
Berikut adalah antara laporan polis yang pernah dibuat oleh suami Ketua Wanita Umno Bahagian Kelang itu, Mohd Suffian Abdul Aziz di Balai Polis Shah Alam bertarikh 8 Oktober 2006:
"Terkandung di dalam telefon bimbit berkenaan (milik Norhayati) ada beberapa gambar-gambar yang tersimpan yang menunjukkan gambar-gambar Dato' Dr Rahman bin Ismail, Ahli Parlimen Gombak, berpelukan dengan isteri saya di dalam bilik-bilik hotel iaitu di Hotel Riverview, Kota Bharu, Kelantan semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan (Disember 2005) dan dalam bilik tidur di Hotel Eastin (Executive Floor), Kuala Lumpur."
Dalam afidavitnya bertarikh 12 Oktober 2006, Suffian mendakwa menjumpai gambar-gambar terbabit dalam telefon Nokia 3G milik isterinya di rumah mertuanya, Tan Sri Onn Ismail. Tambahnya, gambar-gambar video yang terkandung dalam telefon bimbit itu menunjukkan Rahman dan Hayati makan bersama di Restoran Gjenko, Restoran Jepun, PJ Hilton.
"Lokasi ini terbukti benar berpandukan background gambar itu dirakamkan. Saya juga telah mengesahkan bahawa background lokasi berkenaan setelah saya sendiri pergi melawat tempat-tempat itu. Di antara yang terkandung di dalam video ada perbuatan yang mana YB Dato' Dr Rahman dengan jelas cuba menggoda dengan mengajak isteri saya ke tempat yang saya tidak ketahui. Di antara ayatnya, "I know you want me, be a good girl". Bukti-bukti gambar tersebut ada di dalam simpanan saya sehingga sekarang dan beberapa salinannya telah juga disimpan dalam bentuk cakera padat," afidavit Suffian dipetik.
Laporan polis terhadap Rozaidah
Manakala berikut adalah cabutan dan petikan laporan polis bernombor JTRAZAK/005585/07 yang dibuat si suami, Radzmi Othman, 47 tahun, yang diterima Koperal Azizan Hassan terhadap Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib, yang juga Ketua Wanita Umno Ampang, kerana disyaki berkelakuan tidak sepatutnya yang boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang wakil rakyat, di sebuah hotel di ibu kota pada 26 Ogos lalu.
"... saya mengesyaki bahawa Yasmin (anak kami) tiada dalam bilik tetapi berkemungkinan isteri saya bersama lelaki lain di dalam bilik tersebut, Saya sebagai suami tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik malah beliau meminta waran daripada pihak polis untuk memasuki bilik tersebut dan selepas itu kami semua beredar dari Hotel Crown Princess ..."
"... Saya datang ke balai polis buat laporan kerana tidak puas hati dengan sikap dan tindakan serta kecurangan isteri saya dan mahu rujuk perkara ini ke pejabat agama. Sekian laporan saya."
* Bagi mempertingkatkan laman ini, khususnya sebagai persiapan menjelang pilihan raya ke-12, kami amat mengalu-alukan sumbangan yang boleh disalur terus kepada akaun Maybank atas nama HARAKAHDAILY DOT COM (564070000336)
No comments:
Post a Comment