KUALA LUMPUR 25 Sept. – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman menasihatkan orang ramai supaya mendaftar sebagai pengundi selewat-lewatnya hujung bulan ini sekiranya mahu mengundi pada pilihan raya umum ke-12.
Beliau berkata, jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh tersebut, kemungkinan besar nama mereka tidak akan tersenarai sebagai pemilih berdaftar untuk pilihan raya umum berkenaan.
Menurut beliau, semua pihak harus sedar proses memasukkan nama sebagai pengundi dalam senarai pemilih perlu mengikut undang-undang dan tempoh masa yang ditetapkan ialah tiga bulan.
‘‘Pengundi baru yang membuat pendaftaran pada bulan ini, namanya akan dimasukkan dalam senarai pemilih bulan Disember iaitu selepas melalui beberapa proses undang-undang.
‘‘Selepas proses itu selesai, mereka kemudian dibenarkan membuang undi pada pilihan raya umum akan datang yang kemungkinan akan diadakan pada awal tahun depan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ab. Rashid sebelum ini pernah mendedahkan orang Melayu golongan tertinggi tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun pelbagai program diatur untuk memudahkan mereka mendaftar.
Sebagai contoh, dalam program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih yang berakhir bulan lepas, katanya, 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat yang tidak mendaftar adalah orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain.
Ab. Rashid berkata, bagaimanapun, sekiranya pilihan raya umum diadakan pada tahun ini, nama mereka yang mendaftar bulan ini tidak akan dapat dimasukkan ke dalam senarai pemilih kerana tempohnya belum cukup tiga bulan.
‘‘Oleh itu saya minta mereka yang belum berdaftar supaya segera berbuat demikian. Sekurang-kurangnya mereka boleh menjadi pengundi jika pilihan raya umum diadakan pada awal tahun depan,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment