Wed | Sep 26, 07 | 12:33:22 pm MYT
Terkini! KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Hampir semua simpang utama menghala ke Kompleks Kerajaan, di Putrajaya disekat pihak polis beruniform, dipercayai untuk menghalang orang ramai menyertai perarakan anjuran Majlis Peguam.
Tindakan polis tersebut mengakibatkan berlakunya kesesakan lalu lintas apabila kereta-kereta yang melalui jalan tersebut tidak dibenarkan mengikuti jalan berkenaan, dan peserta terpaksa meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan.
Perarakan dari Istana Keadilan ke Kompleks Kerajaan yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, itu diadakan bagi mendesak kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat klip video yang menunjukkan seorang peguam kanan, Datuk VK Lingam sedang berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim untuk mengatur pelantikan hakim]
Rombongan perarakan tersebut dengan membawa sepanduk serta melaung-laungkan slogan seperti 'Selamatkan Badan Kehakiman', serta beberapa orang peguam dilihat memakai 'arm band' berwarna putih.
Mereka mula berkumpul di Palace of Justice jam 11 pagi dan mula bergerak kira-kira jam 12 tengahari.
Polis yang mengawal keadaan bagaimana pun membenarkan mereka berarak selepas pihak Majlis Peguam mengadakan perundingan dengan pihak terbabit.
Rombongan sekarang ini sedang berarak, sambil melaungkan slogan menuntut keadilan seperti 'We Want Justice', 'Selamatkan Badan Kehakiman' dan sebagainya.
Antara pimpinan pembangkang yang turut menyertai perarakan adalah Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah al-Jundi.
Setelah berarak kira-kira 45 minit, para peserta tiba di bulatan Dataran Masjid, berdekatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) jam 12.45 tengahari tadi.
Ketibaan mereka disambut lebih dari 20 anggota FRU yang cuba menghalang perarakan tersebut, bagaimanapun kemudiannya dibenarkan melalui kawasan JPM sehingga ke pintu utama pejabat tersebut setelah rundingan dilakukan.
Pihak JPM membenarkan tiga orang wakil dari Majls Peguam untuk menyerahkan memorandum berkenaan, termasuk Presidennya, Ambiga dan Naib Presidennya, Ragunath Kasavan, sementara mereka yang lain berkumpul di hadapan pintu utama JPM dalam suasana hujan renyai. - mr
No comments:
Post a Comment