Friday, September 28, 2007

Suruhanjaya Kehakiman elak pilih kasih

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Penubuhan Suruhanjaya Kehakiman untuk mengendalikan urusan pemilihan dan pelantikan hakim perlu disegerakan bagi mengelak elemen pilih kasih dalam proses kenaikan pangkat di kalangan hakim.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Mohd. Ismail menegaskan, proses pemilihan dan pelantikan itu perlu telus dan bebas supaya mereka yang benar-benar layak sahaja dipilih untuk mengisi kekosongan.

Menurut beliau, suruhanjaya berkenaan akan membuka ruang untuk pertukaran buah fikiran secara lebih meluas dan perdebatan di kalangan anggota mengenai kriteria seseorang hakim sebelum namanya dicalonkan untuk kenaikan pangkat.

Mengikut amalan sekarang, Ketua Hakim Negara akan menyerahkan cadangan nama calon hakim kepada Perdana Menteri dan kemudian menyerahkannya kepada Majlis Raja-Raja untuk diluluskan.

“Penubuhan suruhanjaya itu perlu disegerakan kerana amalan kini tidak lagi sesuai diteruskan, tambahan pula kerajaan Britain yang dulu menjajah kita sudah pun mempunyai suruhanjaya pelantikan hakim.

“Saya hairan mengapa kita yang pernah dijajah Britain masih tidak mempunyai suruhanjaya,” ujar beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Shaik Daud mengutarakan pendapatnya ketika ditanya rasional desakan Majlis Peguam supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman untuk membuat pemilihan dan pelantikan hakim-hakim dengan lebih bebas dan telus.

Presidennya, Ambiga Sreenavasan yang mengetuai perarakan bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata, tindakan itu diambil bertujuan menuntut pembaharuan dalam badan kehakiman dan melihat ia dilaksanakan demi mengembalikan keyakinan terhadap integriti institusi kehakiman.

Mengulas lanjut, Shaik Daud menambah, kaedah pemilihan hakim yang diamalkan sekarang menjadi tanda tanya kerana rakyat hanya mengetahui mengenai sesuatu pelantikan selepas disiarkan dalam akhbar.

Menurut beliau, isu penubuhan suruhanjaya itu bukan perkara baru kerana beliau sendiri pernah mengajukan cadangan tersebut kepada Tun Daim Zainuddin yang ketika itu menyandang jawatan Menteri Kewangan lebih lima tahun lalu ketika dipanggil menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan MTEN turut bersetuju dengan cadangan tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar berpendapat, cara pelantikan masih mempunyai check and balance kerana mempunyai dua tapisan iaitu di peringkat Perdana Menteri dan dipantau oleh Majlis Raja-Raja.

“Yang menjadi persoalan, kriteria calon hakim yang dicadangkan kepada Perdana Menteri untuk kenaikan pangkat itu perlu bebas daripada unsur politik dan pilih kasih supaya kita mendapat seorang hakim yang benar-benar berwibawa,” ujarnya.

No comments: