Friday, September 28, 2007

BPR mulakan siasatan rakaman video

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memanggil seorang peguam bagi menyiasat kesahihan rakaman video perbualan telefon yang boleh menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti sistem kehakiman negara.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan memberitahu, kenyataan itu direkodkan semasa peguam berkenaan, R. Sivarasa mengunjungi pejabat BPR di Putrajaya hari ini.

“BPR telah memulakan siasatan dan akan memanggil beberapa orang lagi untuk merekodkan keterangan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya gagal menghubungi peguam, Datuk V.K Lingam bagi membolehkan kenyataan beliau direkodkan.

“Kita telah menghubungi beliau beberapa kali tetapi gagal,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan, menurut beliau, ia belum dapat dipastikan.

“Biarlah BPR dengan bantuan polis menjalankan siasatan sehingga kes ini selesai,” jelasnya.

Baru-baru ini, sebuah parti politik pembangkang mendedahkan satu rakaman video yang kononnya menunjukkan seorang peguam kanan sedang berbual menerusi telefon tentang usahanya membantu pelantikan beberapa hakim pada 2002.

Rakaman video selama lapan minit itu melibatkan peguam berkenaan membincangkan kemungkinan hakim itu dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan kemudian sebagai Ketua Hakim Negara selain pelantikan beberapa hakim lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini menegaskan, kerajaan memandang serius isu klip video itu kerana ia boleh menjejaskan nama baik sistem kehakiman negara dan polis akan menyiasat bagi memastikan kesahihannya sebelum tindakan diambil.

No comments: