Thursday, September 27, 2007

Antara tunjuk perasaan Batu Burok, Putrajaya dan ladang babi

A Kadir Jasin
Thu | Sep 27, 07 | 2:21:05 pm MYT

Tunjuk perasaan PAS di Kuala Terengganu pada 8 September dan perarakan aman peguam di Putrajaya pada 26 September adalah dua daripada beberapa protes awam yang berlaku pada akhir-akhir ini.

Sebelum itu, beberapa tunjuk perasaan diadakan untuk pelbagai tujuan seperti membantah kenaikan tol lebuh raya, membantah kenaikan harga barang, membantah cadangan menutup ladang ternakan babi dan membantah kenaikan kadar jenayah.

Kekerapan peristiwa sebegini berlalu dan sambutan yang semakin besar dan meluas daripada orang ramai mencetuskan tanda tanya apakah ini manifestasi kepada dasar keterbukaan (openness) Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi?

Akhbar The New Straits Times yang lazimnya mencerminkan pemikiran kerajaan dan Umno tidak lama dulu menguar-uarkan apa yang disifatkannya sebagai dasar keterbukaan dan toleransi Pentadbiran Abdullah.

Atau ini berupa manifestasi ketidakpuasan hati pelbagai pihak terhadap beraneka perkembangan semasa yang berlaku di negara ini?

Dua kemungkinan ini tidak mudah diasingkan kerana sebab musababnya mungkin saling kait-mengait. Mungkin benar Pentadbiran Abdullah lebih terbuka dan toleran, tetapi di masa yang sama banyak perkembangan semasa tidak menyenangkan rakyat jelata.

Buat permulaan, tunjuk perasaan bukanlah sesuatu yang asing di negara kita. Cuma ia tidaklah sekerap atau seganas yang berlaku di negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Dalam dua, tiga dekad kebelakangan ini, kita mengalami beberapa perhimpunan dan tunjuk perasaan raksasa yang mempunyai implikasi besar terhadap negara dan rakyat.

Pada tahun 1987 terjadi beberapa tunjuk perasaan dan perhimpunan besar yang berbau perkauman yang melibatkan parti-parti pembangkang dan Umno sehingga membawa kepada Operasi Lalang.

Kemudian pada akhir tahun 1998 berlaku tunjuk perasaan besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berikutan pemecatannya daripada Umno dan kerajaan.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, perhimpunan ramai dan tunjuk perasaan bukan sahaja berlaku dengan lebih kerap tetapi bentuk, punca dan penyertaannya juga semakin pelbagai.

Tunjuk perasaan diadakan bagi membantah kenaikan tol lebuh raya, membantah kenaikan harga barang, membantah cadangan menutup ladang ternakan babi, membantah kenaikan kadar jenayah, membantah cadangan mengambil balik tapak rekreasi awam dan sebagainya.

Tetapi perhimpunan politik anjuran PAS di Kuala Terengganu yang berubah menjadi rusuhan dan perbarisan protes oleh 2,000 peguam serta penyokong mereka bukan sahaja antara yang terbesar tetapi menjanjikan implikasi yang lebih luas.

PAS mahu pihak berkuasa, khasnya polis, bersikap lebih terbuka terhadap permohonan parti-parti pembangkang mengadakan ceramah dan perhimpunan.

Keganasan yang berlaku di perhimpunan itu bukan sekadar membabitkan perusuh dan pihak polis malah merebak menjadi punca tuduh-menuduh di antara PAS dan Umno.

Ini pasti memberi kesan kepada kedua-dua buah parti dalam usaha mereka memikat hati pengundi, khasnya pengundi Terengganu, menjelang pilihan raya umum akan datang. Ingat lagi peristiwa berdarah Memali?

Bagi PAS, apa sahaja perkembangan yang membantu menaikkan imej dan profilnya adalah dialu-alukan kerana ia tidak akan rugi apa-apa malah berkemungkinan memperoleh keuntungan kerana Terengganu sudah terlepas daripada tangannya.

Peristiwa seperti yang berlaku di Batu Buruk itu boleh dijadikan modal untuk menghantar mesej kepada pengundi Terengganu bahawa PAS belum mati malah semakin berazam untuk memenangi semula negeri itu.

Bagi Umno pula, sebarang peristiwa dan perkembangan negatif perlu ditakuti kerana jika pengundi Terengganu boleh menerimanya kembali pada pilihan raya umum 2004, mereka boleh menolaknya pada pilihan raya akan datang.

Yang perlu diperhatikan dan difahami adalah motif dan implikasi tunjuk-tunjuk perasaan ini.

Adakah ia sekadar melepas geram dan mengambil kesempatan daripada suasana yang dikatakan lebih terbuka atau ia berpunca daripada permasalahan yang lebih mendalam dan fundamental?

Mungkin ia diadakan untuk melepas geram tetapi petunjuk semasa memberi gambaran bahawa wujud permasalahan fundamental seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, kenaikan harga barang dan perkhidmatan, peningkatan kadar jenayah, masalah pendatang haram dan pengangguran.

Dalam hal ini, tindak balas segera dan jangka panjang oleh pemerintah dan pihak-pihak yang bersangkutan dengannya, akan menentukan kesudahan 'demokrasi jalanan' ini. Kemungkinan ia mekar menjadi gerakan massa tidak boleh diketepikan.

Manakala perhimpunan awam dan tunjuk perasaan adalah hak asasi rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan, ketidakmampuan atau kesilapan pihak berkuasa, khasnya polis, menangani peristiwa seperti ini boleh mencetuskan konfrontasi yang lebih besar.

Seperti kata pepatah, kalau tidak ada-ada masakan tempua bersarang rendah. - kadirjasin.blogspot.com

No comments: