Friday, September 28, 2007

Skandal Kehakiman : Ketua Hakim Negara langgar sumpah?

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Sep 28, 07 | 8:42:58 am MYT

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan (AMK) menghargai tindakan Majlis Peguam Malaysia yang mengambil pendirian tegas ke atas skandal kehakiman yang dikenali sebagai 'CJGate', kata Ketua Pemudanya, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Majlis Peguam telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk mempertahankan keluhuran keadilan dan diharapkan ia kekal konsisten, katanya.

Percubaan untuk mengecilkan pendirian Majlis Peguam menggambarkan betapa terdesaknya kerajaan untuk mengalih perhatian daripada daripada perkara asas kepincangan kehakiman, katanya hari ini.

Malah dengan ketetapan para peguam yang menyertai 'March of Justice' 26 September lalu menunjukkan betapa seriusnya skandal ini, kata Shamsul Iskandar yang juga seorang peguam.

AMK begitu kecewa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang menolak untuk memberi penjelasan ke atas penglibatan beliau di dalam skandal ini,ujarnya.

Sebaliknya Ketua Institusi kehakiman negara ini memilih untuk melakukan 'klarifikasi sulit' kepada menteri, katanya.

Ketua Hakim Negara lupa sumpah?

Ini menjadikan keseluruhan episod ini menjadi kelam sekaligus menggambarkan betapa Ketua Hakim Negara telah lupa akan sumpah yang dilafazkan beliau untuk menjadi kesucian kehakiman, ujarnya.

"Penjelasan sulit beliau kepada Menteri juga telah meletakkan kebebasan kehakiman di dalam bahaya. Ini adalah serius, sama seperti skandal video berkenaan,"katanya.

"AMK sekali lagi menekankan institusi kehakiman tidak bertanggungjawab kepada sesiapa,apatah lagi kepada penguasa politik negara demi menjamin ketelusan kehakiman,"tegasnya.

AMK ingin mengingatkan seluruh warga Malaysia bahawa isu ini tidak hanya melibatkan badan peguam sahaja, sebaliknya ia perlu melibatkan rakyat juga katanya.

Ini kerana adalah penting untuk menjamin perlaksanaan undang-undang yang adil dan saksama yang akan menguntungkan masyarakat keseluruhannya, katanya.

Justeru, AMK akan mengemukakan laporan kepada semua Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) negeri-negeri untuk memastikan bahawa 'CJGate' ini akan disiasat.

Ragui pelantikan tiga panel bebas

Sebagai respon kepada penubuhan Panel Bebas oleh kerajaan untuk menyiasat perkara ini, AMK menyokong kegusaran Presiden KeADILan di atas kredibiliti panel tersebut.

AMK juga meragui perlantikan ketiga-tiga ahli panel iaitu Tan Sri Haidar Mohd Noor, Dato' Mahadev Shankar dan Tan Sri Lee Lam Thye, katanya.

Adalah sesuatu yang meragukan tatkala Tan Sri Haidar terlibat di dalam Krisis Kehakiman 1988 yang menyaksikan pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas, katanya.

"Dan Dato' Mahadev sendiri pernah berkhidmatan di bawah seliaan Tun Eusoff Chin yang turut didakwa terlibat di dalam CJGate ini manakala Tan Sri Lee tidak mempunyai latar belakang undang-undang,"dakwanya.

Rakyat terus mengharapkan agar wujud ketelusan dan penyiasatan yang adil di dalam elemen-elemen korupsi di sebalik sistem kehakiman yang merudum integritinya, ujarnya.

No comments: