Friday, September 28, 2007

Panel masih dipertikai, Najib ucap selamat bertugas

Abdul Aziz Mustafa
Fri | Sep 28, 07 | 4:32:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Hrkh) - Ketika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun mengucapkan selamat bertugas kepada panel penyiasat video yang didakwa merakamkan perbualan peguam Datuk VK Lingam dan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim untuk mengatur perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim yang sehaluan, dua isu utama yang dipertikaikan oleh banyak pihak tetap tidak dipedulikan oleh kerajaan.

Isu pertama ialah mengenai kuasa panel tersebut manakala isu kedua ialah kredibiliti anggota-anggotanya.

Panel tersebut dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Tan Sri Lee Lam Thye serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menganggap penubuhan panel itu hakikatnya memperbodohkan rakyat kerana ia hanya boleh membuat penyiasatan berdasarkan penemuan pihak polis dan agensi-agensi kerajaan yang lain serta tidak boleh bertindak sendiri untuk menemubual atau mendapatkan maklumat dari mereka yang terlibat.

"Paling buruk sekali ialah panel itu mesti menyerahkan hasil siasatannya kepada kabinet yang kemudiannya akan mengumumkan kepada rakyat. Tidak ada orang berakal yang mahu mempercayai bahawa panel itu bebas," tegas beliau.

Salahuddin berkata, sebaik sahaja diumumkan nama tiga orang anggota panel tersebut, rakyat terus mempertikaikan kredibiliti mereka.

"Adakah panel yang dipertikaikan kredibiliti anggota-anggotanya oleh rakyat mempunyai kewibawaan? Bukan itu sahaja, tidakkah kesanggupan mereka menganggotai panel tersebut akan memburukkan lagi kredibiliti mereka?" beliau mempersoalkan.

Orang yang paling dipertikaikan kredibilitinya ialah pengerusi panel itu sendiri, Haidar. Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan Haidar mempunyai rekod yang buruk dalam krisis kehakiman 1988 dahulu.

Peranan Haidar dalam krisis kehakiman yang membawa pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara menyebabkan ramai pihak menolak perlantikannya di dalam panel itu.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang pula menggesa Haidar menarik diri kerana peranan kontroversinya dalam krisis kehakiman itu.

Pada masa yang sama, Lim juga menggesa Haidar supaya memperjelaskan peranannya dalam krisis tersebut yang dikenali sebagai 'ibu segala krisis kehakiman'.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga mahu Haidar memperjelaskan mengenai pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara - yang menurut Lim tidak mengikut perlembagaan - serta pemecatan Datuk George Seah dan Allahyarham Wan Suleiman Pawan Teh sebagai hakim Mahkamah Agung, sebelum mengambil memainkan peranan dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap badan kehakiman.

Haidar merupakan ketua pendaftar Mahkamah Agung sewaktu krisis kehakiman pada tahun 1988. Beliau kini menjadi Pengerusi Bank Bumiputra-Commerce.

Pada 2 Julai 1988, beliau dilaporkan terlibat secara langsung mengarahkan supaya pintu bilik mahkamah dikunci, cop meterai rasmi Mahkamah Agung disembunyikan dan semua kakitangan mahkamah dilarang dari memberikan bantuan kepada mana-mana hakim Mahkamah Agung sekiranya mereka berhasrat untuk bersidang bagi memutuskan permohonan Salleh untuk mendapatkan perintah tegahan kepada tribunal yang dilihat mahu memecatnya dari menyerahkan laporan mereka kepada Yang Dipertuan Agong.

Meskipun tidak ramai yang mempertikaikan perlantikan Lee tetapi ada juga yang mempersoalkannya.

Menurut mereka yang mempertikaikan perlantikannya, Lee, yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang, dianggap tidak sesuai berada dalam panel itu memandangkan program PLKN yang berada di bawah pengendaliannya terlibat dengan pelbagai masalah sehingga ke tahap mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.

Sementara Mahadev pula, kata mereka yang mempertikaikan, pernah menganggotai suruhanjaya diraja bagi menyiasat insiden mata lebam yang melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai polis lain yang juga berada di tempat kejadian ketika Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor membelasah Anwar.

Seolah-olah tidak mempedulikan kredibilitinya dipertikaikan, Haidar memberitahu media bahawa pihaknya mahu menumpukan tugas mereka kepada usaha menentukan kesahihan rakaman video berkenaan.

Setakat ini terma rujukan tugas mereka hanya membabitkan usaha menentukan kesahihan rakaman video tersebut, katanya.

Haidar juga memberitahu, beliau tidak boleh menghalang mana-mana pihak yang mempertikaikan perlantikannya.

"Tetapi anda perlulah melihat terlebih dahulu kepada apa yang dipersoalkan itu, adakah ia relevan dan berasas.

"Saya ada kerja yang hendak dibuat dan saya akan laksanakan, itu yang lebih penting," katanya.

No comments: