Friday, September 28, 2007

Hasrat kerajaan sama dengan peguam

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Kerajaan mempunyai hasrat yang sama dengan Majlis Peguam untuk melihat sistem kehakiman negara mempunyai integriti dan dipercayai, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, penubuhan panel khas bagi menyiasat kesahihan rakaman video perbualan telefon kononnya antara seorang peguam terkenal dengan seorang hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim merupakan langkah ke arah itu.

“Kerajaan mempunyai hasrat yang sama dengan Majlis Peguam untuk melihat sistem kehakiman negara yang berintegriti serta meyakinkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri oleh para penderma kepada Angkatan Tentera Malaysia di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Najib yang juga Naib Yang Dipertua Badan Amal Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Seri Rosmah Mansor serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Najib diminta mengulas mengenai memorandum Majlis Peguam yang mendesak kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman untuk membuat pemilihan dan pelantikan hakim-hakim dengan lebih bebas serta telus.

Memorandum itu juga menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat ekoran satu rakaman menunjukkan seorang peguam terkenal berbual menerusi telefon tentang usahanya membantu pelantikan beberapa hakim pada 2002.

Semalam, kira-kira 1,500 ahli Majlis Peguam berarak dari bangunan Istana Kehakiman ke Dataran Putra bagi menyerahkan kepada memorandum tersebut kepada Jabatan Perdana Menteri.

Mengenai penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menggantikan panel bebas yang baru ditubuhkan tersebut, Najib menegaskan ia tidak akan dilaksanakan.

“Hanya setakat panel bebas serta ahli-ahlinya mempunyai integriti tinggi dan saya berharap tidak ada pihak menimbulkan soal pelantikan ahli panel bebas itu kerana ini bukan soal politik,” katanya.

Kelmarin, Najib mengumumkan penubuhan panel khas bagi menyiasat kesahihan rakaman video perbualan telefon tersebut, yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Ia ditubuhkan memandangkan wujud dakwaan dan spekulasi berhubung rakaman video itu yang boleh menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti sistem kehakiman negara.

Najib memberitahu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ahli panel khas itu hari ini dan akan menentukan tempoh siasatan yang akan dijalankan untuk menyiapkan laporan.

Tambahnya, ahli-ahli panel khas itu juga boleh nyatakan tempoh yang diperlukan untuk menyiapkan laporan.

No comments: