Friday, September 28, 2007

Panel khas tentukan kesahihan rakaman video

PUTRAJAYA 27 Sept. – Panel khas bebas bagi menyiasat rakaman video perbualan telefon kononnya seorang peguam terkenal dengan seorang hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim akan menumpukan tugas mereka kepada usaha menentukan kesahihan rakaman video berkenaan.

Pengerusi panel tersebut, Tan Sri Haidar Mohd. Noor berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkenaan peranan anggota panel itu.

‘‘Kami akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan seperti polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan juga agensi berkaitan dalam menentukan kesahihan rakaman video itu.

‘‘Pertamanya, selepas ini saya akan mengadakan pertemuan dengan anggota panel bagi menggariskan hala tuju siasatan berkenaan, tetapi buat masa ini saya tidak boleh memberikan sebarang perinciannya,” kata beliau selepas menerima surat pelantikan sebagai anggota panel berkenaan daripada Timbalan Perdana Menteri di pejabatnya di sini, hari ini.

Selasa lalu, Najib mengumumkan keputusan kerajaan menubuhkan sebuah panel khas bebas bagi menyiasat kesahihan rakaman video tersebut ekoran ia menimbulkan keraguan kepada kredibiliti dan integriti sistem kehakiman negara.

Panel itu dipengerusikan oleh Haidar yang juga bekas Hakim Besar Malaya dan dianggotai oleh Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Sebuah parti politik baru-baru ini mendedahkan satu rakaman video yang kononnya menunjukkan seorang peguam terkenal sedang berbual menerusi telefon tentang usahanya membantu pelantikan beberapa hakim pada 2002.

Menurut Haidar, Timbalan Perdana Menteri mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada semua anggota panel berkenaan dan menyatakan bahawa kerajaan akan menghormati sebarang keputusan yang dihasilkan kelak.

Beliau menjelaskan, mereka tidak diberikan sebarang tempoh tertentu untuk menyelesaikan siasatan berkenaan tetapi berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, bagi memudahkan tugas mereka, Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai sekretariat mini kepada panel berkenaan termasuk memberikan perkhidmatan sokongan seperti kakitangan dan kemudahan yang diperlukan.

Ditanya mengenai kuasa perundangan yang dimiliki oleh panel itu, Haidar berkata, beliau akan berbincang terlebih dahulu dengan anggota panel berkenaan mengenai perkara tersebut tetapi setakat ini terma rujukan tugas mereka hanya membabitkan usaha menentukan kesahihan rakaman video tersebut.

Dalam hal ini beliau menegaskan, mereka yang terbabit dalam isu tersebut sepatutnya tampil ke depan dan tidak perlu bersembunyi.

Mengenai tindakan parti-parti politik pembangkang yang mempertikai pelantikannya bagi menerajui panel itu, Haidar memberitahu, beliau tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk berbuat demikian.

‘‘Tetapi anda perlulah melihat terlebih dahulu kepada apa yang dipersoalkan itu, adakah ia relevan dan berasas.

‘‘Saya ada kerja yang hendak dibuat dan saya akan laksanakan, itu yang lebih penting,” tambahnya.

Sementara itu, Mahadev berkata, panel itu akan mengambil kira pandangan orang ramai berhubung sejauh mana panel tersebut mempunyai kuasa perundangan.

‘‘Apa yang perlu anda buat sekarang ialah memberi kami peluang untuk mengadakan perjumpaan tertutup dan meneliti apakah peranan dan apa kaedah yang sejajar dengan terma rujukan bagi kami membuat keputusan,” katanya.

No comments: