Thursday, September 27, 2007

Jika PM bermaruah, Abdullah patut mengadap YDP Agong untuk tubuh Suruhanjaya Di Raja

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Sep 27, 07 | 10:40:35 am MYT

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Hrkh) - Parti keADILan Rakyat (KeADILan) menyatakan bahawa rakyat tidak boleh mengharapkan sebuah panel yang dilantik oleh kabinet untuk menjalankan siasatan yang telus dan bebas terhadap video yang melibatkan konspirasi kehakiman negara.

"Bagaimanakah video yang melibatkan ahli kabinet disiasat oleh sebuah panel yang dilantik dan bertanggungjawab kepada badan yang sama?,"kata Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebuah panel yang dilantik oleh kabinet sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membuat siasatan skandal dalam video tersebut, katanya.

"Hanya sebuah Suruhanjaya DiRaja yang dilantik oleh DYMM Yang Dipertuan Agong di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, dan melapor secara langsung kepada Yang Dipertuan Agong yang akan mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, memastikan kehadiran dan memberikan imuniti kepada para saksi agar siasatan yang menyeluruh dapat dijalankan,"kata Dr Wan Azizah.

Itulah satu-satunya caranya rakyat boleh mengharapkan siasatan ini dijalankan dengan berkesan, bebas dan telus, katan Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Tiada pilihan

Rakyat tiada pilihan lain, memandangkan video ini membangkitkan isu-isu yang cukup serius dan mempunyai kesan yang teramat mendalam, katanya.

Sebuah Suruhanjaya DiRaja dilantik untuk menyiasat insiden 'ketuk-ketampi' (membabitkan warganegara Cina) yang telah menjejaskan imej polis sebelum ini.

Sudah tentu badan yang sama yang bertanggungjawab kepada Yang Dipertuan Agung mesti ditubuhkan untuk menyiasat secara menyeluruh skandal yang benar-benar menggemparkan institusi kehakiman negara ini, katanya.

"Sebuah panel yang dilantik oleh kabinet tanpa sebarang kuasa undang-undang sememangnya tidak mencukupi untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan video ini; sebuah Suruhanjaya DiRaja perlu ditubuhkan dengan serta-merta,"ujarnya lagi.

Dua hari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa satu Panel Bebas ditubuhkan untuk menyiasat pendedahan mengenai klip video yang mendedahkan kepincangan serta korupsi dalam badan kehakiman negara.

Bazirkan wang rakyat jika tiada tindakan

Mengulas isu yang sama, Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin berkata, seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan perlu menolak penubuhan Jawatankuasa bebas itu.

"Penubuhan jawatankuasa ini hanya membazirkan wang rakyat (membayar elaun anggota jawatankuasa tersebut dan perbelanjaan sampingan berkaitan) dan cubaan kerajaan cuba menyejukkan kegelisahan dan kemarahan rakyat.

"Ia hanya cubaan mengalihkan isu tanpa mengambil tanggungjawab jelas,"tegasnya.

Perkara ini perkara serius dan amat memalukan tatkala negara diambang krisis ia tidak boleh hanya ditangani dengan mengharapkan sebuah panel yang ditubuhkan oleh kabinet untuk menjalankan siasatan yang sempurna dan bebas, katanya.

PM perlu mengadap Yang Dipertuan Agong

"Jika Perdana Menteri atau kabinet Malaysia punya maruah seharusnya mereka bertindak lebih berani dengan mengadap Yang Dipertuan Agong untuk memperkenankan penubuhan satu suruhanjaya bebas atau tribunal khas seperti yang diperuntukan oleh perlembagaan,"katanya.

Untuk kes seperti kontroversi pendedahan klip video perempuan China kononya dipaksa berbogel dan ketuk ketampi dalam lokap kerajaan begitu serius sehingga mewujudkan Suruhanjaya Diraja, katanya.

Malah kabinet bertindak pantas dan segera tanpa berfikir panjang terus menghantar seorang Menteri untuk merayu kemaafan kerajaan China, katanya.

Setelah suruhanjaya dibentuk maka siasatan bebas dijalankan sehingga mendedahkan bahawa tahanan tersebut ialah warga negara Malaysia, ujarnya. (Malangnya sehingga kini kerajaan tidak meminta maaf kepada warga negara Malaysia atas kejadian tersebut).

"Kenapa ketika mahu memecat Tun Salleh dahulu boleh menubuhkan Tribunal tetapi apabila kini berlaku 'tragedi' lebih serius kita takut menubuhkan tribunal,"tegasnya.

Justeru beliau menggesa Perdana Menteri segera mengadap Yang Dipertuan Agong bagi mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu tersebut secara telus. - mr


No comments: