Thursday, September 27, 2007

Panel mula tugas minggu ini

Oleh Magendran Rajagopal

Kes siasat klip video perbualan telefon peguam, hakim

Tiga anggota tentukan hala tuju siasatan, kesahihan rakaman kontroversi


KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama Panel Bebas Khas menyiasat klip video yang didakwa mengandungi perbualan telefon seorang hakim kanan dan peguam yang cuba mempengaruhi pelantikan hakim akan diadakan dalam minggu ini bagi menentukan hala tuju siasatan seterusnya.

Pengerusi panel, Tan Sri Haidar Mohd Noor, berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai pelantikannya kelmarin dan perlu mengetahui bidang tugas dan menemui anggota panel lain sebelum menentukan tindakan susulan.

"Saya difahamkan ini bukan Suruhanjaya Siasatan Diraja, sebaliknya mirip kepada panel pentadbiran bagi mengesahkan kesahihan klip video itu.

"Itulah sebabnya saya perlu mengadakan pertemuan tidak formal dengan dua lagi rakan panel.

Saya jangka kami akan menemui Datuk Seri Najib Razak pada masa terdekat.

"Mungkin isu ini amat kritikal dan memerlukan tindakan proaktif. Jadi, kerajaan umumkan pelantikan anggotanya terlebih dulu sebelum disusuli butiran lain," kata bekas Ketua Hakim Malaya itu.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan penubuhan panel tiga anggota bagi menyiasat kesahihan rakaman video itu. Ia diketuai Haidar dan dua panel lagi ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Rakaman video lapan minit yang dirakam secara sulit itu memaparkan perbualan seorang peguam terkemuka membincangkan usaha melantik seorang hakim sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan kemudian sebagai Ketua Hakim Negara.

Haidar berkata panel yang diketuainya mungkin terpaksa mendapatkan pandangan pakar bagi menentukan kesahihan klip video berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut sebelum mendapat garis panduan jelas mengenai tanggungjawab mereka

Sementara itu, Mahadev menyifatkan tindakan menubuhkan panel bebas sebagai langkah bijak bagi meredakan bantahan pelbagai pihak yang semakin lantang mengkritik skandal badan kehakiman itu.

"Sebagai anggota panel, saya minta semua pihak memberi ruang menjalankan siasatan terperinci bagi membongkar apa sebenarnya berlaku," katanya.

Mahadev pernah menganggotai dua Suruhanjaya Siasatan Diraja iaitu bagi menyiasat kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis dan satu menambah baik prestasi pasukan polis.

Hasil siasatan panel akan dikemukakan kepada Kabinet yang akan menentukan sama ada boleh diumumkan kepada orang ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis akan bantu Panel Bebas Khas untuk menyiasat klip video didakwa perbualan telefon antara seorang peguam dengan hakim kanan kononnya mengenai urusan pelantikan Ketua Hakim Negara pada 2002.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana tidak mahu timbul spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dilaporkan berkata kerajaan membuat keputusan menubuhkan panel bebas itu kerana dakwaan dan spekulasi berhubung isu berkenaan boleh menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti serta integriti sistem kehakiman negara.

No comments: