Thu | Sep 27, 07 | 2:46:29 pm MYT
Selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada malam Selasa lalu, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dipetik sebagai berkata pilihan raya umum tidak akan diadakan pada masa yang terdekat.
Kenyataan beliau dipetik dalam media elektronik pada malam tersebut.Pada beberapa bulan yang lalu, Abdullah sering mengelak dari menjawab persoalan ini. Dia hanya mampu berkata belum mendapar ilham. Namun pada malam Selasa lalu dia sudah memberikan isyarat bahawa pilihan raya umum tidak diadakan pada tahun ini.
Jangkaan November 2007
Sebelum ini terdapat akhbar tabloid membuat jangkaan bahawa pilihan raya umum dijangka November 2007 depan. Jangkaan akhbar ini berpandukan kepada beberapa kenyataan dari ahli politik dan situasi semasa yang berlaku sekarang sehingga menjelang November akan datang.
Sama ada jangkaan atau ramalan ini tepat atau tidak, ia adalah suatu analisis biasa yang dilakukan oleh mana-mana media mahupun ahli politik di negara ini.
Selain itu, sebuah akhbar utama berbahasa Melayu dari arus perdana turut meramalkan pilihan raya umum diadakan pada Oktober 2007. Akhbar ini tentunya mempunyai analisis sendiri yang mungkin berpandukan kepada maklumat dalaman parti Umno mahupun analisis isu-isu yang dihadapi oleh kerajaan sekarang.
Selain daripada media cetak, spekulasi lebih banyak berlegar di kalangan ahli politik samada dari Barisan Nasional mahupun kepimpinan pembangkang. Antaranya termasuk Pengerusi KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, beberapa pemimpin tertinggi PAS dan ahli-ahli politik lainnya.
Tidak mungkin tahun depan?
Umum mengetahui bahawa pilihan raya umum di negara ini diadakan setiap lima tahun sekali. Kali terakhir pilihan raya Umum ke-11 diadakan pada 21 Mac 2004 lalu. Ia diadakan selepas selesainya proses peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Abdullah. Jika mengikut amalan demokrasi sebenar, pilihan raya umum ke-12 ini adalah diadakan sebelum 21 Mac 2009 akan datang.
Spekulasi tarikh pilihan raya umum terbahagi kepada dua iaitu pada tahun ini dan pada tahun hadapan. Kalangan ahli politik dan media yang meramalkan pilinan raya umum diadakan pada tahun ini adalah faktor kedudukan ekonomi dan sosial rakyat yang kelihatan berpihak kepada Barisan Nasional, kekurangan isu yang besar yang boleh mengganggu-gugat parti pemerintah, ketiadaan perpecahan yang jelas sesama pemimpin Umno dan kedudukan Abdullah sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri yang semakin kukuh dan mencengkam di kalangan parti mereka.
Spekulasi semakin terserlah apabila majoriti pemimpin Umno Negeri dan pihak SPR sudahpun mengadakan aktiviti dan kursus bagi menghadapi pilihan raya umum ini sepanjang bulan Ogos 2007 lalu.
Umno berkursus berulangkali
Difahamkan pucuk pimpinan Umno di beberapa buah negeri sudah mengadakan kursus berulangkali untuk mempastikan ahli dan pemimpin Umno di setiap peringkat benar-benar bersiap sedia menghadapi situasi pilihan raya Umum ini. Di samping ini, beberapa agensi di bawah Barisan Nasional seperti Kemas dan Biro Tatanegara (BTN) turut aktif menganjurkan kursus terhadap kakitangan mereka.
Persoalan yang timbul apakah benar pilihan raya umum diadakan pada tahun ini sehingga Umno dan Barisan Nasional begitu hebat mengadakan pelbagai persiapan. Atau ia disifatkan sebagai suatu strategi sepertimana lazimnya yang dilakukan oleh mereka dalam pilihan raya umum sebelum ini sebagai suatu 'latihan' atau 'perang psikologi' untuk mengetahui sejauhmana kekuatan dan kelemahan parti pembangkang?
Abdullah tidak perlu terburu-buru untuk mengadakan pilihan raya umum yang baru tiga tahun beliau memerintah. Dia juga tidak perlu gusar dengan mengadakan pilihan raya secepat mungkin kerana masih ada baki dua tahun untuk beliau memerintah. Walaupun timbul pelbagai spekulasi pilihan raya umum diadakan pada tahun ini, namun kewajaran dari pandangan Abdullah masih boleh dipersoalkan.
Apa yang pasti, kenyataan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin perlu diberi perhatian serius. Khairy yang juga menantu kepada Abdullah dipetik sebagai berkata tidak perlu diadakan pilihan raya umum yang cepat kerana masih banyak kerja dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Kenyataan Khairy keramat, tepat!
Sebagai seorang pemimpin muda yang berwibawa dan cukup berpengaruh di kalangan ahli Umno dan pemimpin kerajaan lainnya, kenyataan Khairy adalah suatu keramat. Kenyataan beliau adalah tepat dan cukup diberi perhatian oleh mereka.
Pilihan raya umum tidak mungkin atau hampir mustahil diadakan pada bulan Oktober 2007 ini. Ini disebabkan aktiviti besar negara yang perlu diberikan tumpuan oleh seluruh masyarakat negara ini adalah perlawanan persahabatan antara pasukan My-Team 2 dengan pasukan Indonesia di Bukit Jalil. Ini adalah program terbesar Khairy yang turut membabitkan SCOMI dan HotLink sebagai penaja dengan TV3 sebagai media penyiar.
Abdullah pastinya tidak mahu merosakkan program yang ditunggu-tunggu oleh jutaan pengundi dan rakyat Malaysia. Barangkali program ini boleh menyatupadukan seluruh rakyat yang memberi sokongan kepada My-Team2. Dan yang lebih utama pasukan ini akan berhadapan dengan negara Indonesia yang turut mempunyai jutaan rakyat di negara ini.
Abdullah boleh `mengecewakan’ anak Tun Dr Mahathir pada 21 Mac 2004 lalu yang mana ketika itu Dato' Mokhzani menjadi pengajur Formula One di Sepang, Selangor.Mokhzani dikatakan 'kecewa' kerana tarikh pilihan raya umum diadakan serentak dengan penganjuran Formula One yang ditonton oleh masyarakat seluruh dunia.
Hebatnya My-Team Khairy
Pastinya Abdullah tidak akan sekali-kali mengecewakan Khairy yang juga Timbalan Presiden FAM sekarang. My-Team 2 adalah pasukan bola sepak yang lebih hebat dari pasukan bola Sepak Malaysia yang menjuarai Piala Merdeka. Pasukan ini setanding dengan Brazil, England dan Italy yang sentiasa mengadakan perlawanan persahabatan antara negara.
Hanya pasukan negara yang mengadakan perlawanan persahabatan dengan negara lain yang mana jarang sekali kita mendengar sebuah kelab menentang perlawanan persahabatan dengan negara. Itulah hebatnya My-Team 2 yang ditunggu-tunggu oleh jutaan rakyat Malaysia.
Jika Khairy berpandangan pilihan raya tidak diadakan pada tahun ini, bilakah tarikh yang sesuai pada tahun 2008 atau 2009? Pastinya bukan selepas tarikh Anwar Ibrahim yang dibebaskan untuk berpolitik mulai April 2008.
Walaupun ada anggapan sesetengah pemimpin Barisan Nasional bahawa Anwar sudah tidak popular lagi dan tidak mempunyai kekuatan politik, mereka boleh mencuba nasib dengan pilihan raya umum diadakan selepas April 2008.
Namun begitu Abdullah dan Khairy tidak akan risau jika benar pilihan raya umum diadakan selepas April 2008 akan datang. Kedua mereka sudah mempunyai kekuatan sendiri berbanding dengan pemimpin Umno lainnya!
Walaupun timbul pelbagai persoalan di antara mereka bertiga, namun majoriti pemimpin Umno yang ketakutan hilang jawatan akan ingat tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia ini yang menghantar pasport Anwar ke rumahnya!
Akhirnya - selain pengumuman tarikh pilihan raya umum dilakukan oleh Abdullah, kita perlu juga mendengar dan menunggu kenyataan dari Khairy terlebih dahulu.
No comments:
Post a Comment