Thursday, September 27, 2007

Hampir 2,000 peguam tuntut tubuh suruhanjaya kehakiman



TUNTUTAN: Peguam berkumpul di Dataran Putra selepas berarak sejauh 2.5 kilometer dari Kompleks Keadilan (POJ) di Persiaran Perdana ke JPM, semalam.

PUTRAJAYA: Hampir 2,000 ahli Majlis Peguam berarak sejauh 2.5 kilometer dari Kompleks Keadilan (POJ) di Persiaran Perdana ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini bagi menyerahkan memorandum menuntut kerajaan menubuhkan suruhanjaya kehakiman bebas bagi urusan pelantikan hakim.

Diketuai Presidennya, Ambiga Sreenevasan, mereka menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu rakaman video perbualan telefon antara seorang peguam dengan seorang hakim kanan yang kononnya berkaitan urusan pelantikan Ketua Hakim Negara pada 2002.

Walaupun peserta mula berkumpul sejak pagi, 'Perarakan Untuk Keadilan' itu hanya bermula menjelang tengah hari dan berakhir 30 minit kemudian apabila tiba di JPM.

Ketika perarakan itu, peguam terbabit berpakaian hitam dan putih turut membawa sepanduk dan kain rentang pelbagai mesej seperti 'Rakyat Hakim Negara', 'Bersihkan Badan Kehakiman', 'Walk for Justice' dan 'Stop the Patronage, Stop the Rot' serta melaungkan 'Kami Mahu Keadilan'.

Polis dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di sepanjang laluan, manakala beberapa laluan masuk utama ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ditutup kepada semua kenderaan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, semalam mempertahankan badan kehakiman negara tidak bermasalah, sebaliknya 'krisis' yang didakwa berlaku sekarang sengaja direka terutama parti pembangkang.

Nazri berkata, beliau tidak menyangka bagaimana peguam sepatutnya menjadi individu yang membuat kajian terperinci sebelum bertindak boleh mengatur perarakan di sini bagi menggesa kerajaan membuat reformasi dalam badan kehakiman negara.

"Bagi saya, perbuatan yang tidak wajar bagi ahli profesion guaman mengambil tindakan seumpama itu...kita tidak ada skandal, tidak ada masalah dalam badan kehakiman," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini malam tadi.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan peguam berarak 2.5 kilometer dari Kompleks Keadilan (POJ) di Persiaran Perdana ke JPM di sini bagi menyerahkan memorandum menuntut kerajaan menubuhkan suruhanjaya kehakiman bebas.

No comments: