Thu | Sep 27, 07 | 11:28:47 am MYT
KUALA LUMPUR, 27 Sept (Hrkh) - Perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat semakin membimbangkan memandangkan 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat yang tidak mendaftar adalah orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan sasaran sebanyak 2.5 juta pemilih baru melalui program tersebut mendapati sebahagian besar daripada sejuta pemilih baru yang mendaftar adalah bukan bumiputera.
Rasa selamat tinggal di negara sendiri dan tidak mempunyai kesedaran politik, merupakan antara faktor sesetengah orang Melayu tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi walaupun layak berbuat demikian dan ini turut diulas oleh ramai pemimpin Umno yang turut mengakui kesannya dalam pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut perkembangan mendukacitakan ini Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz OMar berkata, pada dasarnya beliau menyambut baik pandangan pelbagai pihak khususnya daripada pimpinan Umno tentang kurangnya kesedaran orang Melayu terhadap politik negara.
"Saya setuju tapi punca utamanya datang daripada Umno sendiri yang mencorakkan pemikiran orang Melayu sehingga menjadi beku dan kaku terhadap politik," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.net sebentar tadi.
"Apa yang mereka katakan sangat 'contradict', menyimpang daripada implementasi yang selama ini sering kali menyekat masyarakat khususnya orang Melayu untuk mendalami dan memahami selok-belok politik negara," katanya lagi.
Contoh terbaik ialah insiden di Batu Burok Kuala Trengganu, apabila kerajaan melalui Umno dan polis menghalang orang ramai yang hadir untuk mendengar isu-isu semasa berkaitan politik dan demokrasi negara yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, apa jua aktiviti seperti ceramah politik, penerangan isu-isu semasa dan perhimpunan-perhimpunan aman yang berperanan untuk memberi kesedaran politik kepada masyarakat seringkali disekat dan diganasi oleh kerajaan dan ini sesuatu yang jauh tersasar daripada matlamat negara untuk memastikan rakyat khususnya orang Melayu supaya celik politik.
"Kerajaan dan Umno selalu menghasut pemikiran rakyat bahawa apa jua yang dilakukan oleh parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak selari dengan pemerintah adalah sesuatu yang menakutkan.
"Sedangkan penglibatan parti pembangkang dan NGO-NGO merupakan pelengkap kepada sistem demokrasi negara, dan kami juga yang banyak mendedahkan kepincangan kerajaan dan membela nasib rakyat," kata bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Ugutan dan sekatan punca orang Melayu tidak minat politik
Pelbagai ugutan sekatan dan halangan dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno selama ini terbukti menyebabkan orang Melayu semakin jumud terhadap politik dan antara yang boleh dilihat kini ialah pilihan raya kampus yang memberi tekanan kepada para mahasiswa supaya hanya memberi sokongan kepada kumpulan Aspirasi yang dilihat menyokong kerajaan.
"Dengan situasi ini, siapa yang akan minat politik apatah lagi para remaja yang lebih disogokkan kepada hiburan yang melampau dan melalaikan sahaja," katanya.
SPR juga katanya, mesti dilihat bebas dan telus dalam menjalankan tanggungjawabnya, jika tidak semakin ramai yang sangsi dan tidak mahu mendaftar sebagai pengundi kerana hak mereka diperlekehkan dan disalahgunakan seperti menyenaraikan nama-nama mereka sebagai pengundi hantu.
Terbaru, bekas Pengarang The Malay Mail, Ahirudin Attan 'didaftarkan' oleh SPR sebagai pengundi bagi pilihan raya umum ke 12 sedangkan menurut pengakuan Ahirudin yang lebih dikenali sebagai 'Rocky Bru' beliau tidak pernah sama sekali mendaftar dan menunaikan kewajipan sebagai pengundi dalam mana-mana pilihan raya sekalipun.
Dalam perkembangan berkaitan, sebelum ini Harakah mendedahkan di Perak kejadian yang sama juga turut dilaporkan apabila seramai 600 pengundi di kawasan Taman Silibin, Ipoh telah dipindahkan lokaliti mereka ke kawasan parlimen Batu Gajah secara senyap sebaik sahaja pilihan raya 2004 yang lalu.
Perkara ini disedari bulan lalu ketika Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat M. Kulasegaran membantu penduduk di kawasannya membuat semakan kedudukan status tempat mengundi.
Katanya pengundi yang mengundi di kawasan Parlimen Ipoh Barat (P.065) dan Dun Buntong pada pilihanraya tersebut telah dipindahkan nama mereka ke Parlimen Batu Gajah dan Dun Jelapang.
Harakah juga pernah mendedahkan di Selangor sejumlah 1,402 pengundi 'dipindahkan' lokaliti mereka secara senyap.
Menurut Yang Dipertua PAS Serdang, Dr Shafie Abu Bakar mendedahkan SPR Selangor telah memindahkan sejumlah pengundi tersebut dari kawasan Hulu Langat dan Kajang ke Serdang dan Bangi, Selangor supaya dapat mengurangkan sokongan dan undian kepada Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya umum akan datang.
Tindakan ini telah dilakukan secara sembunyi pada tahun 2005, setahun selepas pilihan raya umum 2004 tanpa pengetahuan para pengundi yang terlibat dan bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Artikel 113 (ii) yang membenarkan sebarang perubahan sempadan dilakukan hanya 8 hingga 10 tahun selepas satu-satu persempadanan semula dibuat di mana-mana kawasan di Malaysia, katanya.
Ramai aktivis dan pemerhati politik yang bimbang dengan perkembangan ini, menggesa orang ramai dan seluruh rakyat Malaysia mneyemak segera nama mereka dalam daftar pemilih SPR, bagi mengelak nama-nama mereka dipindahkan ke lokaliti berbeza atau lebih buruk didaftarkan sebagai pengundi hantu. - mr
No comments:
Post a Comment