Thursday, September 27, 2007

Pita Lingam: Parlimen mesti bersidang untuk tubuhkan suruhanjaya diraja

Abdul Aziz Mustafa
Thu | Sep 27, 07 | 2:54:09 am MYT

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Hrkh) - Kerajaan mesti memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membentuk suruhanjaya diraja menyiasat kontroversi "pita Lingam", tegas Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

"Jika kerajaan benar-benar serius dan ikhlas untuk membersihkan institusi kehakiman negara ini, ahli-ahli Parlimen yang sedang bercuti sekarang hendaklah dipanggil untuk bersidang bagi memutuskan penubuhan Suruhanjaya Diraja menyiasat kontroversi tersebut," katanya sambil mempertikaikan keberkesanan panel siasatan yang dilihat semata-mata untuk meredakan kemarahan rakyat.

Parlimen juga, katanya, hendaklah meminta Yang Dipertuan Agong menggantung jawatan mereka yang disebutkan nama dalam konspirasi untuk mengatur kenaikan pangkat dalam institusi kehakiman dan undang-undang seperti yang diperbualkan dalam pita tersebut, sehinggalah mereka didapati tidak bersalah atau tidak terlibat oleh suruhanjaya yang dibentuk itu.

Pita itu menunjukkan peguam kanan, Datuk VK Lingam sedang bercakap melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Perbualan tersebut adalah mengenai usaha menentukan perlantikan rakan-rakan kanan 'yang sehaluan'.

Mahfuz juga menuntut supaya Parlimen sendiri yang memutuskan nama mereka yang akan dilantik dalam suruhanjaya itu untuk mengelakkan perlantikan orang-orang yang dipertikaikan kredibiliti mereka.

"Parlimen sendiri yang mencadangkan nama-nama tersebut kepada Yang Dipertuan Agong dan bukannya (Perdana Menteri Datuk Seri ) Abdullah (Ahmad Badawi) atau kerajaan yang dipimpinnya yang memutus serta mencadangkan siapa yang patut dilantik," tegas beliau.

Suruhanjaya tersebut, katanya, hendaklah dianggotai oleh pakar-pakar yang berkaitan dengan bidang undang-undang, perlembagaan, telekomunikasi, teknologi maklumat, multimedia dan bidang-bidang yang berkaitan.

Serentak dengan itu, beliau mendesak Abdullah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan masing-masing.

"Abdullah mesti meletakkan jawatan sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri manakala Musa pula meletakkan jawatannya sebagai Ketua Polis Negara berikutan penubuhan panel siasatan yang diumumkan baru-baru ini," tegas beliau.

Beliau melihat penubuhan panel itu sebagai bukti jelas yang menunjukkan kewibawaan polis tidak lagi diyakini untuk mengendalikan kes itu sedangkan sebelum ini Perdana Menteri sendiri yang menyatakan "polis perlu menyiasat kes itu dengan segera".

"Ketika polis belum lagi diketahui memulakan usaha untuk menyiasat kes itu, seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri sebelum ini, tiba-tiba ditubuhkan panel penyiasat yang tidak lansung dianggotai oleh anggota polis.

"Tidak ada tafsiran lain yang boleh dibuat terhadap apa yang berlaku itu melainkan wujudnya hakisan keyakinan yang sangat serius terhadap pihak polis.

"Sebab itulah Abdullah mesti meletakkan jawatan sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Musa pula mesti meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara," katanya lagi.

Mengenai panel tanpa kuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan itu, Mahfuz menyifatkan penubuhan panel itu sebagai bukti bahawa kerajaan yang diterajui oleh Abdullah adalah "kerajaan lintang pukang".

"Sebelum ini kata polis perlu menyiasat kes itu dengan segera, tiba-tiba apabila Perdana Menteri ditekan oleh rakan-rakannya sendiri, tubuh panel penyiasat pula," katanya.

Sebelum ini, ketika ditanya sama ada sebuah suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu, Perdana Menteri menegaskan, langkah tersebut tidak perlu kerana kesahihan klip video itu belum dibuktikan lagi.

"Tak payah kita buat... maklumat yang dikemukakan pun belum ditentukan sah.

"Apa perlunya suruhanjaya sedangkan maklumat itu belum sahih? Kalau betul, itu soal lain," tegas Perdana Menteri.

Mahfuz mempersoalkan, bagaimana hendak mengetahui sama ada maklumat itu sah atau tidak jika tidak disiasat oleh suruhanjaya diraja yang adil, bebas dan tidak dipengaruhi tekanan politik?

"Sebab itulah, sepatutnya dari awal lagi suruhanjaya diraja untuk menyiasat kontroversi itu mesti ditubuhkan," tegas beliau.

Beliau juga tidak yakin rakyat akan mempercayai apa jua hasil kerja panel penyiasat yang ditubuhkan oleh kerajaan itu memandangkan panel itu ditubuhkan setelah Perdana Menteri kelihatan ditekan oleh rakan-rakannya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setelah berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan panel tersebut.

"Kenyataan Najib itu menunjukkan Perdana Menteri terpaksa ditekan untuk menubuhkan panel penyiasat itu demi kepentingan politik parti pemerintah kerana takutkan kemarahan rakyat," katanya.

Tekanan terhadap Perdana Menteri itu juga menunjukkan anggota-anggota kerajaan sendiri terutama Najib tidak yakin dengan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini supaya polis menyiasat kes itu dengan segera.nta

No comments: