Friday, August 14, 2009

Teoh Beng Hock : Kesan tapak kasut di bawah tingkap

Kesan tapak kasut di bawah tingkap

Oleh NORAZLITA MOHD SIES dan NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 13 Ogos - Kesan tapak kasut berukuran lebih kurang sembilan inci (22.8 sentimeter) ditemui di bahagian bawah tingkap tempat Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock dipercayai jatuh dan dijumpai mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di sini pada 16 Julai lalu.

Pakar forensik, Deputi Supritendan (DSP) Sharul Othman Mansor, 47, berkata, kesan yang tidak begitu jelas itu ditemui di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 semasa beliau membuat pemeriksaan pada 19 Julai lalu iaitu tiga hari selepas pasukan forensik Selangor berbuat demikian.

Saksi tersebut yang mengetuai pasukan forensik dari Makmal Forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu bagaimanapun mengaku tiada sebarang ujian dibuat bagi mengetahui siapa pemilik kesan tapak kasut tersebut.

''Saya ada arahkan jurufoto polis, Koperal Rabaah Ramli mengambil gambar kesan tapak kasut itu,'' kata saksi ke-14 inkues siasatan kematian Beng Hock itu semasa menjawab soalan peguam yang mewakili kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan.

Berdasarkan pemeriksaan lanjut di kawasan berhampiran dinding dan tingkap tersebut, beliau tidak menjumpai sebarang kesan lain termasuk kesan kerosakan, calar atau tanda-tanda pergelutan.

Jelasnya, tingkap tersebut tidak berkunci dengan penguncinya telah patah dan kesan skru patah di tapak pengunci yang jelas dapat dilihat dengan mata kasar.

Menurutnya, beliau tidak memeriksa dan mengambil kesan cap jari di bahagian tingkap kerana pasukan forensik Selangor telah berbuat demikian dalam siasatan awal selain kemungkinan tempat itu telah tercemar.

Selain bahagian tingkap, kata Sharul, pasukannya telah membuat pemeriksaan dengan menggunakan polylight bagi mengesan rambut, darah dan cap jari dalam bilik mesyuarat utama di mana Beng Hock ditemu bual.

Katanya, pemeriksaan juga dilakukan di bilik rakaman percakapan Beng Hock dibuat dan sofa tempat bekas wartawan itu makan serta pintu masuk pejabat SPRM.

Kesemua tempat itu, jelasnya, ditunjukkan oleh pegawai penyiasat SPRM, Mohd. Anuar Ismail.

''Kami juga ada membuat pemeriksaan terhadap kereta jenis Toyota Avanza warna hijau milik mangsa. Bagaimanapun sebagaimana tempat-tempat lain, tiada sebarang bahan bukti dijumpai,'' jelas beliau.

Menurut Sharul, beliau bersama pasukan forensik pergi ke pejabat SPRM di tingkat 14, Plaza Masalam di sini kira-kira pukul 5 petang, 19 Julai lalu selepas mendapat arahan untuk membuat pemeriksaan di tempat kejadian.

Sebelum menjalankan tugas, beliau telah diberi taklimat oleh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner (ACP) Omar Mamah dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam, Deputi Supritendan (ASP) Kamaruddin Ismail.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas akan bersambung esok dengan Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Dr. Khairul Azman Ibrahim dijangka menyambung keterangan.

Khairul yang sepatutnya selesai memberi keterangan pada Isnin lalu tidak dapat berbuat demikian kerana tidak sihat.

No comments: