Friday, August 14, 2009

Dakwaan berdasar cakap orang

Dakwaan berdasar cakap orang

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 13 Ogos - Polis hari ini memaklumkan dakwaan yang dibuat Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong bahawa terdapat Exco Selangor terlibat serta mempunyai hubungan dengan kumpulan kongsi gelap hanya berdasarkan cakap-cakap orang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, keterangan yang diambil daripada wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada 16 Julai lalu tidak banyak membantu siasatan.

Menurut beliau, bagi mendapatkan lebih banyak maklumat, pihaknya terpaksa membuat siasatan lebih mendalam dengan memanggil ramai saksi lain termasuk kakitangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu.

"Keterangan yang diberi oleh Choo Keong tidak banyak membantu kerana ia hanya berdasarkan hear say.

"Jadi kita masih mendalami siasatan kes ini dan akan memanggil lebih ramai saksi kerana maklumat yang ada tidak mencukupi. Bagaimanapun, siasatan kes ini akan tetap diselesaikan," kata beliau ketika ditemui pada Seminar Pelaburan Selangor 2009 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan siasatan dakwaan Choo Keong mengenai terdapat Exco Selangor terlibat dan mempunyai hubungan dengan kumpulan kongsi gelap.

Pada 16 Julai lalu, polis mengambil keterangan Choo Keong berhubung dakwaannya itu yang disiarkan menerusi laman blog, http://weechookeong.blogspot.com dan dilaporkan dalam media.

Siasatan kes tersebut dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mengikut Seksyen 233 Akta Multimedia.

No comments: