Friday, August 14, 2009

Tee Keat buat laporan polis terhadap King Sing

Tee Keat buat laporan polis terhadap King Sing

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing atas kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau menerima sumbangan RM10 juta untuk aktiviti parti MCA tahun lalu.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Cheras pada pukul 10.30 pagi ini.

Tee Keat yang juga Presiden MCA meminta King Sing menarik balik kenyataan itu dalam tempoh tujuh hari setelah Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) itu mendakwa memberi sumbangan berjumlah RM10 juta kepada MCA.

Menurut Tee Keat, laporan polis itu dibuat bagi membersihkan nama serta reputasi beliau atas tuduhan yang dilemparkan King Sing melibatkan isu sumbangan itu serta pembangunan di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Saya menafikan sekeras-kerasnya MCA menerima RM10 juta daripada King Sing. Tuduhan itu tidak berasas sama sekali dan menjejaskan nama baik saya sebagai Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA.

"Saya minta King Sing menarik balik kenyataan berbaur fitnah itu dan memohon maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari atau berhadapan tindakan undang-undang," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA Jalan Ampang di sini hari ini.

KDSB merupakan pemaju siap guna PKFZ yang kini sedang disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung skandal PKFZ.

Menurut Tee Keat, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang King Sing daripada mengeluarkan sebarang kenyataan di media cetak dan elektronik.

"Motif dan niat individu itu cuba menjejaskan imej Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berhubung isu PKFZ," ujarnya.

Dalam pada itu, Tee Keat menolak dakwaan beliau menggunakan pesawat khas KDSB sebanyak lima kali dengan kos penerbangan melibatkan AS$40,000 (RM140,000).

"Saya kebiasaannya boleh menaiki pesawat komersial untuk pergi ke Sarawak, disebabkan kesuntukan masa dalam urusan kerja dan lambat untuk membuat tempahan tiket penerbangan, ia merupakan pilihan terakhir saya untuk mencari perkhidmatan penerbangan lain termasuk menggunakan perkhidmatan pesawat KDSB.

"Dakwaan KDSB berhubung bayaran tertunggak itu, mereka disaran mengemukakan invois itu kepada Kementerian Kewangan," katanya.

Sementara itu, King Sing ketika dihubungi hari ini berkata, beliau tidak akan menarik balik kenyataan yang dibuat terhadap Presiden MCA yang menerima sumbangan RM10 juta daripadanya.

"Saya tidak akan tarik balik kenyataan saya, kenapa saya perlu untuk menarik balik kenyataan itu, saya juga mengalu-alukan laporan polis yang dibuat oleh Tee Keat. Dia boleh meneruskan usaha untuk mendakwa saya di mahkamah," katanya.

"Saya menderma wang untuk parti MCA bagi menyatukan ahli-ahli mereka dan berkhidmat untuk rakyat. Saya menawarkan sekeping cek tetapi Tee Keat meminta supaya dilunaskan dalam wang tunai kerana ia mudah diproses," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.

No comments: