Friday, August 14, 2009

Desakan DAP terhadap Hassan masih kekal

Desakan DAP terhadap Hassan masih kekal

SHAH ALAM 13 Ogos - Walaupun isu penjualan arak di Selangor telah dianggap selesai di peringkat pakatan pembangkang, desakan DAP agar Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Hassan Ali diambil tindakan disiplin masih belum ditarik balik.

Pengerusi DAP negeri, Ean Yong Hian Wah berkata, setahu beliau desakan yang diutarakan oleh timbalannya, Tony Pua itu masih kekal.

Menurut beliau, cadangan agar diwujudkan jawatankuasa disiplin bagi membincangkan perkara itu juga satu perkara yang perlu.

''Setahu saya perkara itu (desakan) masih kekal kerana ia masih belum dibincangkan.

''Mengenai jawatankuasa disiplin, sepatutnya perlu ada mekanisme untuk menjadi garis panduan bagi mengawal atau mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli atau pemimpin pembangkang yang melanggar disiplin," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pada persidangan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Selangor yang dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Negeri itu memberitahu, desakan yang dibuat Tony sebenarnya di luar pengetahuannya tetapi ia tidak melanggar prinsip parti.

''Bagi saya desakan itu hanya pendapat personal beliau tetapi itu tidak menjadi kesalahan dalam parti," katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid ketika ditanya mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa disiplin tersebut berkata, jika ditubuhkan, ia akan menjadi tempat parti komponen pakatan pembangkang melapor atau menyuarakan sebarang ketidakpuasan hati antara mereka.

Ujar beliau, penubuhannya bagaimanapun bukan bertujuan untuk menghukum tapi lebih kepada medan perbincangan antara parti dalam pakatan pembangkang.

No comments: