Pendirian MB Kelantan mengelirukan
SETIU 13 Ogos - Pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering berubah-ubah berkaitan hukum agama dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sikap Nik Abdul Aziz yang tidak konsisten termasuk dalam isu penghinaan terhadap Islam oleh DAP jelas boleh memesongkan fahaman dalam Islam.
Beliau turut mempertikaikan keupayaan parti tersebut untuk menegakkan hukum hudud sedangkan pendirian pemimpinnya masih tidak tetap dan berubah-ubah.
"Kita bimbang, penghinaan terhadap agama (oleh DAP terhadap Islam) telah dihalalkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim di sini hari ini.
Shafie mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana bagi Menteri Besar Kelantan itu, DAP bukan parti Islam dan kefahaman mereka mengenai Islam tidak mendalam.
Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu menyalahkan sikap pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan kesuciannya telah disalahertikan oleh bukan Islam.
Bercakap perkara sama ketika berucap pada majlis itu, Shafie dengan sinis berkata, pemimpin Pas hanya tahu apa yang berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedangkan masalah dalaman yang melanda parti pembangkang dipandang sebelah mata.
"Dia tak nampak apa yang Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) buat, atau apa yang DAP atau Pas buat.
"Mereka tak pula mempersoalkan pendirian Anwar yang masih membisu berhubung isu arak di Selangor," ujarnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment