Umno, BN mampu pikat pengundi jika kerja keras
ALOR SETAR: Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu memikat hati pengundi untuk menyokong parti itu jika ia sanggup berusaha keras memulihkan kepercayaan rakyat, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan BN juga perlu memberi tumpuan yang lebih kepada usaha menyelesaikan krisis ekonomi negara yang terjejas berikutan kemerosotan ekonomi dunia.
Katanya, krisis ekonomi yang melanda negara menyebabkan ramai penduduk, terutama golongan muda hilang pekerjaan apabila diberhentikan dan jika keadaan itu berlarutan akan menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan.
"Krisis ekonomi ini menyebabkan ramai orang menganggur kerana hilang pekerjaan, harga barang pula naik.
"Kalau kita berjaya tangani masalah ini kita akan dapat sokongan mereka," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah,di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Mubarak Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pemangku Pengerusi Mubarak Kedah, Datuk Abdul Rahman Ibrahim.
Dr Mahathir berkata, pemulihan ekonomi yang berkesan juga mampu menarik sokongan masyarakat Cina kerana mereka kebanyakannya terbabit kegiatan ekonomi.
"Kejayaan kita mengatasi masalah krisis ekonomi pada 1997 dan 1998 sehingga dapat membantu mereka yang hampir bankrap menyebabkan masyarakat Cina menyokong BN pada pilihan raya 1999," katanya.
UMNO perlu kerja keras - Mahathir
ALOR SETAR 28 Jun - UMNO masih berpeluang memikat hati rakyat termasuk orang Melayu jika sanggup bekerja keras untuk membersihkan imej dan memulihkan semula kepercayaan masyarakat terhadap parti itu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, parti itu tidak boleh meletakkan kesalahan atas orang lain dengan menjadikan alasan kaum lain tidak memberikan sokongan pada pilihan raya umum lalu sebagai punca kemerosotan prestasi.
Sebaliknya, kata beliau, parti itu perlu membuat bedah siasat mencari punca sebenar rakyat menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sebelum itu telah memenangi 11 pilihan raya umum dan kemudian serius memperbaikinya.
"Tanggapan bahawa kaum lain tidak sokong UMNO atau BN adalah tidak tepat. Kalau ini dijadikan alasan maka tidak akan berjaya.
"UMNO harus pegang kepada perkara yang benar yang diketahui selepas membuat bedah siasat," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Kedah di Bangunan Tunku di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Presiden Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Dr. Mahathir berkata, masalah utama yang melanda UMNO pada masa ini ialah imej rasuah yang terpalit pada pemimpinnya.
Justeru, katanya, parti itu perlu berusaha keras untuk membersihkan UMNO daripada gejala berkenaan dan perlu berani membuat keputusan untuk tidak meletakkan pemimpin yang memenangi jawatan kerana rasuah sebagai calon pilihan raya.
Katanya, peluang untuk UMNO dan BN merampas kembali negeri yang dimenangi parti lawan tidak mustahil dengan syarat amalan rasuah dibersihkan dari bawah walaupun sukar.
Menurut beliau, pada masa yang sama kerajaan ditunjangi UMNO perlu memulihkan krisis ekonomi supaya mendapat sokongan rakyat daripada pelbagai kaum yang akan percaya dengan kemampuan kerajaan untuk mentadbir negara.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment