Monday, June 29, 2009

Calon BN ikrar bela kebajikan pengundi

Calon BN ikrar bela kebajikan pengundi

Oleh Ismail Mat dan Wan Faizal Ismayatim
bhkb@bharian.com.my


MUHYIDDIN bersama (dari kiri) Ramzi dan Mustapa mengangkat tangan Tuan Aziz (tengah) sambil diperhatikan Shahrizat selepas pengumuman penamaan calon di Sungai Sok Luar, semalam.

Tuan Aziz azam beri khidmat terbaik di Manek Urai

KUALA KRAI: "Saya berikrar melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan sebaik mungkin dan memberi khidmat setulus hati jika diberi peluang menjadi wakil rakyat," kata Tuan Aziz Tuan Mat.

Sambil mengakui kepercayaan yang diberikan kepemimpinan parti sebagai amanah besar, Tuan Aziz, 39, beliau akan melakukan sedaya upaya mendapatkan sokongan pengundi dan sedia bekerja tanpa mengira batasan waktu demi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil berkenaan.

"Saya terkejut dan tidak menyangka diberi kepercayaan memikul tanggungjawab berat selaku calon BN di Manek Urai. Ini amanah yang sangat besar dan berjanji akan melaksanakannya sebaik mungkin.

"Saya juga meminta pengundi memberikan sokongan dan jika diberi peluang, saya sedia mendengar rintihan dan masalah yang dibangkitkan rakyat bagi memastikan nasib mereka sentiasa terbela," katanya.

Tuan Aziz yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, berkata banyak isu, khususnya soal pembangunan boleh dipertingkatkan di Manek Urai yang sebelum ini tertinggal berbanding kawasan lain.

Bekas Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu, berkata beliau tidak mempunyai masalah berdamping dengan masyarakat setempat kerana bidang tugasnya sebelum ini yang sentiasa turun padang mendengar masalah mereka di kawasan itu.

"Saya biasa dengan persekitaran Kuala Krai termasuk Manek Urai, selain bertugas di Kesedar yang membolehkan saya sentiasa berhubung rapat dengan masyarakat setempat. Saya juga dibesarkan serta mendapat pendidikan peringkat rendah dan menengah di sini," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terharu atas kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan parti untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kecil itu.

"Walaupun kawasan ini milik Pas sebelum ini, saya percaya mampu mencapai kemenangan dengan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada semua pihak. Saya minta semua pihak bersama saya memastikan kerusi Manek Urai menjadi milik BN," katanya.

No comments: