Monday, June 29, 2009

BN jangan hilang semangat - Pak Lah

BN jangan hilang semangat - Pak Lah

KEPALA BATAS 28 Jun - Semua pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak hilang semangat sebaliknya mengumpul semula kekuatan untuk segera bangkit daripada prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, walaupun kehilangan banyak kerusi di beberapa negeri pada PRU lalu, ia tidak patut dijadikan alasan untuk parti komponen BN berpecah atau bertelagah sesama sendiri.

Beliau berkata, formula pemuafakatan perlu diteruskan bagi memastikan kelangsungan BN yang menjadi tunjang kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat dipertahankan.

"Kita boleh rasa kecewa dan sedih tetapi jangan sampai hilang semangat. Parti yang hilang semangat akan hilang daya juang yang akhirnya menjadi lemah dan tidak dapat bergerak lagi.

"Kita perlu sayangkan parti, jangan amalkan sikap tinggal atau buang parti dan bertelagah sesama sendiri," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pemuda dan Wanita MCA Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.

Abdullah berkata, sejarah membuktikan bahawa bukan mudah membina BN sebagai sebuah parti politik yang berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini sejak lebih 50 tahun.

Sehubungan itu, katanya, BN perlu memulihkan keyakinan dan memperbaiki segala kelemahan untuk memastikan ia terus relevan dan diterima setiap lapisan rakyat.

Sambil memberi analogi BN sebagai sebuah syarikat atau kedai, Abdullah berkata, semua parti komponen BN yang berperanan sebagai pemegang saham perlu bekerja keras untuk memastikannya ia terus hidup dan berjaya.

"Bukan mudah kita untuk membina BN sehingga menjadi sebuah parti yang terbentuk hasil daripada kesepakatan parti-parti (berbilang) kaum, inilah yang kita perlu jaga.

"Kalau kita boleh ibaratkan BN sebagai satu kedai atau syarikat, kita sebagai pemegang saham perlu pastikan kita terus kerja kuat dan jangan sampai tutup kedai," katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang mewakili pelbagai kaum, BN tidak terlepas daripada isu-isu yang menimbulkan percanggahan pendapat tetapi ia boleh diselesaikan secara bermuafakat.

No comments: