Monday, June 29, 2009

Presiden PPP diumum dua minggu lagi?

Presiden PPP diumum dua minggu lagi?

KUALA LUMPUR 28 Jun - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah berkata, keputusan berhubung kedudukannya sebagai Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) yang sah diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Kata beliau, pada masa ini, PPP mempunyai dua presiden iaitu beliau sendiri dan Datuk M. Kayveas selagi Pendaftar Pertubuhan (ROS) belum membuat keputusan siapa presiden parti yang sah.

"Saya serah kepada ROS untuk membuat keputusan, bagaimanapun saya berharap ia akan membawa berita baik kepada saya," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga PPP Selangor di Kompleks Rakan Muda Puchong dekat sini hari ini.

Krisis dalaman PPP meledak pada 16 Mei lalu apabila Lembaga Disiplin parti itu memecat tujuh ahli termasuk Murugiah atas tuduhan melanggar perlembagaan parti.

Lapan hari kemudiannya, kumpulan yang menyokong Murugiah bertindak mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan meluluskan enam usul termasuk undi tidak percaya ke atas Kayveas sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan Presiden yang disandangnya sejak 1993.

Serentak itu, EGM tersebut turut membatalkan pemecatan Murugiah dan memilihnya sebagai Presiden PPP yang baru.

Bagaimanapun pada 4 Jun lalu, Ketua Pengarah ROS, Datuk Md. Alias Kalil mengesahkan Kayveas masih merupakan Presiden PPP yang sah dan pihaknya tidak menghalang parti itu untuk meneruskan perhimpunan agungnya 7 Jun lalu.

Tiga hari kemudiannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Murugiah boleh terus menyandang jawatan Timbalan Menteri sehingga ROS selesai menjalankan siasatannya terhadap parti itu.

Mengulas perjumpaannya dengan ahli PPP Selangor, Murugiah berkata, PPP telah menerima sebanyak 14,200 ahli baru dari negeri tersebut menjadikan keseluruhan ahli parti pada masa ini ialah 35,000 orang.

"Ia merupakan suatu petanda baik kepada kami dan menunjukkan semakin ramai rakyat memberikan sokongan kepada PPP dan Barisan Nasional (BN) secara umumnya," jelas beliau.

Tambah beliau, pihaknya berharap jumlah keahlian PPP di seluruh negara akan mencecah 50,000 orang pada akhir bulan depan.

"Majoriti ahli PPP pada masa ini ialah kaum India dan kami mahu menarik lebih ramai ahli daripada kaum-kaum lain untuk menyertai parti ini selaras konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Menurut beliau, pihaknya akan bekerja keras untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menguatkan BN supaya dapat memenangi pilihan raya umum akan datang.

No comments: