Monday, June 29, 2009

Saya tiada hasrat jadi MB - Shafie

Saya tiada hasrat jadi MB - Shafie

ALOR SETAR 28 Jun - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sekali lagi menegaskan, beliau tidak berhasrat untuk menjadi Menteri Besar atau bertanding di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, beliau melihat tugas sebagai pengerusi badan perhubungan sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikannya sebagai ahli parti.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak memberi kerjasama dan mengetepikan masalah remeh temeh sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan semula parti di negeri ini.

"Saya tidak berhasrat menjadi Menteri Besar tetapi melihat pemilihan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah sebagai tanggungjawab dan amanah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Kedah yang disempurnakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Bangunan Tunku di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau akan menggunakan pengalamannya menjadi pembangkang di Sabah bagi merampas kembali Kedah yang kini dikuasai Pas.

Dalam menjayakan misi itu, katanya, kerjasama dan perpaduan antara ahli menjadi antara kunci selain mahu ahli-ahli UMNO turun mendekati masyarakat akar umbi.

No comments: