Monday, June 29, 2009

'Pelawaan debat Nik Aziz hanya buang masa'

'Pelawaan debat Nik Aziz hanya buang masa'

Oleh Azmi Md Deros, Hussain Said, Amin Ridzuan Ishak, Ridzuan Ahmad dan Khairiatul Nabila Koderat
bhnews@bharian.com.my

Pelbagai pihak anggap cadangan Menteri Besar Kelantan tidak selesai sengketa Umno-Pas

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu melayan pelawaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan debat secara terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik Pas dan Umno yang berlaku sejak sekian lama.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata perdebatan itu hanya membuang masa kerana kedua-dua pihak tidak akan mencapai persefahaman disebabkan ideologi berbeza.

"Saya ingat tak ada faedah.. Nanti Nik Aziz cakap Arab, Najib cakap Inggeris.. dua-dua tak faham.. Debat di Malaysia tak macam di Amerika, di Indonesia pun ada debat untuk calon Presiden.

"Ia akan buang masa saja.. Jadi satu hiburan. Kita bukan lantik pemimpin ini untuk menghibur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah, di sini semalam.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mempelawa Najib supaya berdebat secara terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik antara kedua-dua parti yang berlarutan.

Di KEPALA BATAS: bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan debat terbuka antara Najib dengan Nik Abdul Aziz sebagai tidak perlu.

Sebaliknya, beliau mencadangkan kedua-dua pihak menggunakan platform lebih sesuai iaitu berbincang untuk mencari kesepakatan Islam dan Melayu.

"Ada keperluan segera untuk Umno dan Pas bagi mewujudkan satu bentuk platform untuk membincangkan isu 'panas' dalam suasana tenang serta kondusif," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung MCA bahagian Kepala Batas di sini, semalam.

Di KUALA KLAWANG: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan pelawaan Mursyidul Am Pas itu sebagai membuang masa.

"Soal berdebat ini bila-bila pun boleh tetapi kita tidak ada asas untuk mengadakan perdebatan. Tiba-tiba tiada ribut, tiada hujan, maka kita nak debat dan apakah yang mahu didebatkan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Umno Cawangan Kampung Gagu, di sini, semalam.

Di KUALA KRAI: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata tidak masuk akal untuk menyahut cabaran Menteri Besar Kelantan itu kerana ia tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada Umno dan rakyat.

"Apa yang penting Umno dan kerajaan mahu memperjuangkan kepentingan rakyat di Manik Urai. Ini yang lebih penting daripada melayan cabaran debat itu," katanya kepada pemberita di Pusat Operasi Barisan Nasional (BN) Manik Urai di Kampung Sok Luar di sini, semalam.

Sementara itu, di ALOR SETAR, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyambut baik cadangan Nik Abdul Aziz itu bagi merungkai segala masalah yang sedang berlaku antara kedua-dua parti.

No comments: