Tindakan Anwar perkara remeh
Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
SEPANG 17 Mei - Menteri Luar, Datuk Anifah Aman (gambar) menyifatkan tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memfailkan saman fitnah ke atasnya sebagai satu perkara yang remeh dan tidak perlu dilayan.
Menurutnya, sebagai anggota Kabinet, beliau mempunyai banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan bagi mengatasi krisis ekonomi global kini.
''Saya tidak ada masalah untuk menghadapinya (tindakan saman fitnah), tetapi saya ingat itu perkara remeh kerana saya ada banyak perkara lain lebih penting.
''Sebagai Menteri Luar, saya ada perkara yang perlu dilihat dan diatasi, dan Anwar itu bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan," katanya pada sidang akhbar sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Amerika Syarikat hari ini.
Beliau mengadakan lawatan kerja ke Washington atas jemputan Setiausaha Negara, Hillary Rodham Clinton selama dua hari bermula 14 Mei lalu.
Memetik laporan Bernama semalam, Anwar menafikan kenyataan Anifah di Washington bahawa beliau menawarkan kepada Anifah jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai 'umpan' untuk melompat parti selepas pilihan raya umum 2008.
Peguam S. N. Nair yang mewakili Anwar berkata, anak guamnya itu mahu Anifah menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf dalam tempoh 24 jam berhubung tuduhan itu.
Kata Nair, Anwar memintanya memfailkan saman fitnah terhadap Anifah sekiranya Menteri Luar itu tidak menarik balik kenyataannya dan mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh ditetapkan.
Pada sidang akhbar bersama Hillary di Washington Khamis lalu, Anifah berkata, beliau secara peribadi telah dipelawa menyertai pembangkang dan ditawarkan jawatan amat tinggi oleh Anwar.
Bagaimanapun, Anifah berkata, beliau mempertahankan kenyataan yang dibuatnya di Washington itu.
''Anwar sendiri mengakui ada menghubungi saya sekali dan fikir-fikir sahajalah apa sebab dia menghubungi saya dalam telefon.
''Adakah beliau telefon saya sekadar untuk bertanya hello," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment