'Kalau anak jantan beri saya tanding Presiden'
BENTONG 17 Mei - "Kalau anak jantan beri saya bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti bulan hadapan, jangan main taktik kotor, biar ahli parti yang tentukan siapa yang layak''.
Demikian tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah yang mencabar Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas memberinya ruang untuk bertanding jawatan tersebut demi menyelamatkan parti daripada terus rosak.
Bekas Ketua Pemuda PPP itu berkata, beliau masih ahli parti yang sah dan layak bertanding berikutan pemecatannya adalah salah kerana tidak mengikuti peruntukan perlembagaan parti dan peraturan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).
"Kesabaran manusia ada tahapnya. Begitu juga saya, saya tidak takut terhadap sebarang ugutan. Usahkan peluru malah meriam sekalipun saya tidak gentar kerana saya tahu tuhan bersama orang yang benar," katanya yang pertama kali membuat kenyataan terbuka selepas krisis antaranya dan Kayveas meletus kira-kira dua minggu lalu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perniagaan Kecil, Agro-tani dan Francais di Dewan Majlis Perbandaran Bentong, Pahang di sini hari ini.
Semalam, Lembaga Disiplin PPP memecat tujuh ahlinya termasuk Murugiah atas tuduhan melanggar perlembagaan parti.
Sementara itu, Murugiah juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN menggantung sementara tugas Kayveas sehingga krisis dalaman PPP diselesaikan.
"Saya sudah terangkan secara terperinci masalah dalaman yang melanda PPP kepada Perdana Menteri dan saya yakin beliau akan membuat yang terbaik demi kebaikan ahli PPP dan BN," katanya.
Tindakan itu, jelasnya, amat perlu bagi menjaga kepentingan ahli PPP dan BN serta untuk menghalang ahli keluar daripada parti bagi menyertai pembangkang kerana kecewa apabila nasib mereka tidak terbela.
"Mengikut perlembagaan BN, ahli parti tidak boleh membawa sebarang kes ke mahkamah. Ia perlu diselesaikan pada peringkat dalaman, tetapi yang menjadi masalah selagi Presiden 'kuku besi' masih ada dan kekal berkuasa, selama itulah ahli tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta ROS memainkan peranan menyiasat krisis pengurusan dan pentadbiran PPP yang amat teruk dan kritikal hingga berlaku banyak penyelewengan dalaman.
"Terlalu banyak masalah, sejak Kayveas ambil alih langsung tiada pemilihan, AMT juga dipilih berdasarkan kroni. Bekas bendahari juga mengaku tidak pernah menandatangani sebarang cek. Semua diluluskan oleh Kayveas bersama kroni-kroninya.
"Ini bukan parti individu tetapi milik rakyat Malaysia. Malah sejak 16 tahun lalu juga dalam Mesyuarat Agung Tahunan langsung tidak pernah dibentangkan laporan kewangan. Kalau ada ahli yang bertanya, dia akan dipecat atau dikenakan tindakan disiplin," katanya.
Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk membawa ROS ke mahkamah sekiranya PPP masih dibenarkan mengadakan mesyuarat agung tahunan bulan depan berdasarkan pada begitu banyak masalah dan penyelewengan dalaman belum diselesaikan.
Tegas Murugiah, Kayveas tidak boleh 'disimpan' lebih lama dalam Barisan Nasional (BN) kerana sikapnya suka menikam ahli komponen parti itu dan jika dikekalkan, beliau akan membawa bencana besar kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment